-->

Type something and hit enter

Translate


On
Karangan PT3 - Kebaikan Bergotong-royong

Mengikut Kamus Dewan, maksud gotong-royong ialah tolong-menolong atau bantu-membantu. Amalan gotong-royong ini wujud dengan jelas dalam masyarakat kampung. Gotong-royong banyak diamalkan dalam masyarakat kampung kerana hubungan antara jiran masih kukuh dan kemesraan antara jiran masih terjalin. Manakala dalam masyarakat bandar, amalan gotong-royong ini kurang diamalkan kerana masyarakat di bandar lebih bersikap individualistik dan mementingkan kebendaan. Sebenamya banyak kebaikan jika gotong-royong ini diamalkan dalam masyarakat.

Kebaikan pertama amalan gotong-royong ialah dapat memudahkan kerja. Kerja yang berat, kalau dilakukan beramai-ramai, pastinya akan menjadi lebih mudah. Contohnya di kampung, majils keramaian seperti majlis perkahwinan dibuat secara gotong-royong. Sehari sebelum majlis perkahwinan berlangsung gotong-royong yang dinamakan 'rewang' diadakan. Penduduk kampung akan datang beramai-ramai bagi membantu memasang khemah dan memasak untuk majils perkahwinan. Gotong-royong begini pastinya akan memudahkan kerja-kerja yang dilakukan, seperti kata pepatah 'Muafakat Membawa Berkat'.

Amalan gotong-royong juga akan membolehkan kita menjimatkan masa dan tenaga. Sebagai contoh, jika kerja membersihkan dan menceriakan sesuatu kawasan sekolah, dilakukan oleh seorang sahaja, maka masa yang diperlukan mungkin selama beberapa minggu. Namun demikian jika ia dilakukan secara gotong-royong masa yang diperlukan hanyalah satu hari sahaja. Oleh Itu, jelaslah bahawa program gotong-royong membolehkan kita menjimatkan masa dan tenaga. Kemeriahan suasana gotong-royong juga menjadikan masa berjalan dengan begitu pantas dan kerja yang dirancang dapat disiapkan dengan cepat.

Selain itu, amalan gotong-royong juga membolehkan kita menjimatkan belanja. Misalnya dalam hal menyediakan makanan semasa hari perkahwinan, dijalankan secara gotong-royong, pasti kita dapat menjimatkan wang. Tetapi, jika makanan tersebut ditempah daripada syarikat penyedia makanan, belanja yang perlu dikeluarkan adalah lebih tinggi. Begitu juga dengan aktiviti kemasyarakatan yang lain seperti membina tempat menunggu bas kosnya akan lebih rendah jika dijalankan secara gotong-royong. Kadangkala kos yang boleh dijimatkan boleh menjangkau sehingga lima puluh peratus.

Kebaikan seterusnya amalan gotong-royong lalah dapat mewujudkan persefahaman dan kemesraan di kalangan anggota masyarakat. Amalan gotong-royong juga akan mewujudkan suasana harmoni dan hormat-menghormati. Contoh amalan gotong-royong ialah mengadakan sambutan hari perayaan peringkat kampung. Pada hari itu setiap keluarga akan membawa juadah masing-masing dan mereka akan bertukar-tukar juadah semasa jamuan diadakan. Keadaan itu pastinya menyumbang kepada suasana harmoni dan kemesraan di kalangan penduduk kampung.

Aktiviti gotong-royong juga boleh membawa kepada wujudnya perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Justeru, banyak program yang telah disusun dan dilaksanakan oleh kerajaan. Antara program tersebut ialah Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Program Rumah Terbuka Rakyat Malaysia. Amalan gotong-royong ini adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Masyarakat yang bersatu padu dan suasana yang aman membolehkan negara kita menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.

Kesimpulannya, daripada penjelasan di atas, nyatalah bahawa aktiviti gotong-royong dalam masyarakat banyak faedahnya. Masyarakat bandar khususnya patut kembali mengamalkan budaya gotong-royong dan menjauhi sikap Individualistlil. Pihak kerajaan sentiasa merangka program yang mendorong kepada usaha gotong-royong. Sesungguhnya, kejayaan program gotong-royong memerlukan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat. Marilah kita mengamalkan budaya gotong-royong demi kebaikan masyarakat dan negara.

Back to Top