-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3

Sebab-sebab Berlaku Masalah Disiplin Pelajar


Isu-isu tentang disiplin pelajar kerap menjadi paparan dalam surat khabar dan televisyen. Masalah disiplin pelajar dikatakan semakin meningkat dari hari ke hari. Pada pendapat saya, isu disiplin pelajar ini tidak boleh dipandang ringan oleh ibu bapa dan masyarakat. Mengikut kajian, terdapat beberapa sebab yang membawa kepada masalah disiplin di kalangan pelajar.

Sebab utama masalah disiplin pelajar ialah sikap pelajar itu sendiri. Pelajar yang selalu melanggar disiplin sekolah adalah pelajar yang mempunyai tingkah laku yang buruk. Pelajar berkenaan hanya mementingkan diri sendiri dan tidak tahu menghormati guru- guru mahupun peraturan sekolah. Pelajar berkenaan juga menganggap peraturan sekolah hanya menyusahkan diri mereka, oleh itu mereka memprotesnya dengan cara melanggar peraturan sekolah tersebut.

Pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu sebab berlakunya masalah disiplin di kalangan pelajar. Jika pelajar berkawan dengan rakan yang mempunyai masalah disiplin, maka sudah pastilah pelajar berkenaan terpengaruh untuk melakukan perbuatan negatif. Antara perbuatan negatif tersebut ialah menghisap rokok dan ponteng sekolah. Sewajarnya pelajar tidak berkawan dengan rakan yang mempunyai masalah disiplin kerana mereka mungkin akan terpengaruh menjadi pelajar yang tidak berdisiplin.

Selain itu, sikap ibu bapa juga boleh menjadi penyebab kepada masalah disiplin pelajar di sekolah. Sebagai contoh, anak-anak yang selalu dimarahi ibu bapa ketika di rumah cenderung untuk berkelakuan negatif ketika berada di sekolah. Manakala anak-anak yang tidak mendapatkan kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa pula cenderung untuk membuat sesuatu yang boleh menarik perhatian guru-guru dan rakan-rakan. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya mengambil berat tentang permasalahan anak-anak ketika berada di sekolah dan memberi kasih sayang serta perhatian yang secukupnya.

Masalah disiplin pelajar di sekolah juga boleh disebabkan pengaruh media massa seperti televisyen dan majalah. Sebagai contoh, pelajar yang menonton filem aksi ganas, cenderung untuk melakukan aksi ganas tersebut ketika bersama-sama rakan di sekolah. Antara program aksi ganas yang terdapat di televisyen ialah pertandingan gusti dan filem tentang rompakan bank dan sebagainya. Oleh itu, tidak hairanlah masalah buli dan perbuatan mencuri di kalangan pelajar di sekolah semakin menjadi-jadi.

Tindakan pihak sekolah juga boleh menyebabkan masalah disiplin di kalangan pelajar di sekolah. Terdapat pihak sekolah yang mengambil mudah masalah disiplin pelajar. Contohnya, pelajar yang melanggar peraturan sekolah tidak diambil tindakan yang sewajarnya. Hal ini menyebabkan pelajar lain juga berani melanggar peraturan sekolah kerana mereka tidak melihat tindakan tegas diambil oleh pihak sekolah terhadap pelajar terbabit.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa sebab berlakunya masalah disiplin pelajar. Sesungguhnya, masalah disiplin di kalangan pelajar boleh menjejaskan pencapaian akademik pelajar. Pada pendapat saya, pelbagai pihak mesti berganding bahu untuk menangani masalah disiplin pelajar. Dengan kerjasama semua pihak, saya pasti masalah disiplin pelajar dapat diatasi dengan baik.
Back to Top