-->

Type something and hit enter

Translate


On
Cara-cara Mengatasi Tekanan Atau Stres ( Anda / Individu )

            Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora. Bagaimanapun, tekanan yang dihadapi itu berbeza-beza tahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh golongan dewasa mungkin akibat memikirkan masalah keluarga, kewangan atau kerjaya, manakala bagi remaja pula tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah yang berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin membawa  kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan, manakala yang lainnya pula menganggap tekanan sebagai sumber kesengsaraan dan penderitaan. Menyedari hakikat ini, saya harus komited dan beriltizam untuk mengatasi stres sehingga ke akar umbi sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah cara-cara yang harus diimplimentasikan  untuk mengatasi stres?

            Pada hemat saya, antara cara mengatasi stres ialah riadah. Hal ini dikatakan demikian kerana riadah merupakan kegiatan yang sangat berfaedah untuk kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Beriadah pada masa lapang merupakan prasyarat untuk menangani stres dengan berkesan. Sebaliknya, jika saya tidak beriadah, badan saya akan letih lesu seolah-olah tidak bermaya lagi. Usaha saya untuk menangani stres pasti jauh panggang dari api. Oleh itu, saya harus meluangkan masa untuk menjalani aktiviti riadah. Sebagai contoh, saya harus melakukan aktiviti riadah pada waktu lapang terutamanya pada hujung minggu. Antara kegiatan riadah yang kerap saya lakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan. Ada waktunya saya melakukan riadah bersama-sama ibu bapa saya. Peluang keemasan itu saya gunakan sepenuhnya dengan melakukan perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan masalah peribadi, mahupun masalah pelajaran yang sering memberikan tekanan kepada saya. Tegasnya, saya menganggap kegiatan riadah sebagai serampang dua mata yang membantu meningkatkan kesihatan diri di samping menjadi salah satu cara untuk mengurangkan tekanan.

Selain itu, saya  sentiasa berfikiran positif apabila berhadapan dengan situasi yang kritikal dan sukar. Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir amat mempengaruhi kesihatan diri, terutamanya kesihatan mental. Namun begitu, realitinya pada hari ini, sesetengah remaja berfikiran negatif sehingga mereka dibelenggu masalah stres. Oleh itu, demi memastikan saya memiliki kesihatan yang baik tanpa menghadapi tekanan, saya harus berfikiran waras dan rasional semasa menghadapi cabaran hidup yang penuh dengan pancaroba. Sebagai tamsilan, apabila rakan sebaya memberi kritikan atau teguran kepada saya, saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Ibu sering mengingatkan saya bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Di sebalik kritikan yang diterima itu, saya akan melakukan muhasabah diri (makna: perbuatan menilai diri / anjakan paradigma) lalu membaiki segala kekurangan yang ada. Menurut pakar motivasi yang terbilang, Datuk Dr. Haji Mohd. Fadzilah Kamsah, remaja yang berwawasan harus berfikiran positif untuk mengangani stres sekali gus memacu diri mencapai kejayaan. Jelaslah, saya harus berfikiran yang positif untuk menghadapi stres.

Di samping itu, saya melakukan hobi untuk mengatasi stres yang saya hadapi. Saya berpendapat sedimikain kerana, menjalani hobi pada masa lapang dapat merehatkan minda dan menghilangkan segala masalah yang membelenggu diri. Sekiranya saya mensia-siakan masa dengan melepak hingga larut malam, fikiran saya akan menjadi tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan terjerat dalam kancah tekanan yang melampau. Bertitik tolak daripada itu, saya harus melakukan hobi pada masa senggang. Sebagai analoginya, saya boleh membaca buku, mendengar muzik, mengumpul setem, bermain catur, bercucuk tanam, membela ikan dan sebagainya. Selain itu, saya juga boleh menemani rakan-rakan untuk melakukan hobi bersama-sama supaya hubungan silaturahim sesama rakan-rakan dapat terjalin. Implikasinya, saya akan berasa gembira dan minda saya akan menjadi tenang. Hal ini bertepatan dengan pandangan ahli-ahli psikologi bahawa hobi merupakan salah satu wahana terapi yang efesien dan sumber ketenangan fikiran yang sering diabaikan. Tanpa hobi, kehidupan akan menjadi sepi. Oleh itu, hobi bukan sahaja dapat menghiburkan hati, malah  hobi seperti memiliki kuasa magis  yang berupaya mengurangkan tekanan yang saya hadapi, bertepatan dengan maksud peribahasa sambil menyelam minum air.

Sementelahan itu, saya juga menjadikan ibadat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. Hal ini memang benar kerana beribadat memberikan ketenangan yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata.  Ironinya, jika amalan beribadat tidak dipraktikkan dalam kehidupan seharian, saya akan berasa gelisah dan kehilangan impian hidup. Tambahan pula, saya akan dihantui masalah stres yang berterusan. Oleh hal yang demikian, saya harus beribadat demi kesejahteraan hidup diri. Misalnya, saya boleh menjalani ibadat di tokong atau di rumah sendiri. Beribadat akan menjadikan saya melupakan semua tekanan yang saya hadapi, malah saya dapat merasakan betapa dekatnya diri  saya dengan Yang Maha Pencipta. Jiwa saya akan berasa tenang dan damai, hati juga menjadi bersih. Benarlah seperti yang pernah dikatakan oleh  seorang penceramah gaya hidup sihat, Encik Norhisham Mustaffa bahawa beribadat merupakan senaman yang paling ampuh untuk memberikan kesihatan terbaik buat tubuh badan kita. Saya sangat menyedari dan menginsafi bahawa hanya Tuhan yang dapat membantu saya dalam segala hal. Lantaran itu, saya menjadikan ibadat sebagai usaha yang terbaik untuk menghindari dan mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Bukan itu sahaja, melancong juga merupakan cara untuk menangani stres. Hal ini dikatakan demkian kerana melancong merupakan aktiviti yang dapat merasakan keterujaan dan kegembiraan yang membolehkan saya melupakan segala masalah yang membelenggu fikiran. Cuba kita bayangkan sekiranya kita tidak pernah melawat ke tempat pelancongan yang terkenal, kehidupan saya pasti akan bosan dan tiada kebahagiaan. Sehubungan dengan itu,  saya perlu merancang untuk melancong ke tempat pelancongan yang menarik dan bersejarah di Malaysia. Tamsilnya, saya boleh melancong ke Pulau Langkawi, Taman Negara, Bukit Fraser, Tanah Tinggi Genting, Tanah Tinggi Cameron dan sebagainya bersama-sama keluarga saya pada masa cuti persekolahan. Setiap kali melancong, tekanan yang berpunca daripada masalah yang dihadapi dapat saya atasi atau setidak-tidaknya dapat saya lupakan sebentar. Menteri pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen pernah menyarankan setiap keluarga harus berancang untuk melancong ke destinasi pelancongan tempatan untuk  menikmati keindahan alam flora dan fauna di samping menambahkan pengetahuan tentang budaya dan sejarah tempat tersebut. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa jauh perjalanan luas pemandangan, banyak pula pengalaman. Keseluruhan aktiviti ketika melancong itu termasuk sesi membeli-belah cukup membantu saya melupakan segala tekanan yang dihadapi.

  Kesimpulannya, saya perlu mempraktikkan pelbagai cara yang drastik dan pragmatik untuk menangani masalah stres dengan efektif supaya kehidupan saya akan menjadi lebih ceria dan selesa. Tekanan merupakan masalah dan tekanan juga merupakan sumber motivasi. Tanpa tekanan, hidup saya akan kurang berseri umpama pokok yang tidak berbunga. Saya yakin dengan ketabahan dan keimanan yang kukuh, dapatlah saya menghadapi semua tekanan dengan tenang. Untuk mendepani stres dengan lebih baik, komitmen daripada pihak lain seperti guru-guru, rakan-rakan dan ahli keluarga juga diperlukan, bak kata pepatah, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Usaha  yang sistematik  dan  proaktif  mestilah  digerakkan  mulai  dari  sekarang  kerana  perjalanan  yang  beribu  batu, mestilah bermula dengan langkah yang pertama!
Back to Top