-->

Type something and hit enter

Translate


On
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan anak-anak mereka.

Bincangkan pernyataan di atas.

Marcapada,  isu  berkaitan  peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak  saban  waktu  diuar-uarkan  dalam  media  arus perdana  di  negara  kita.  Oleh itu,  ibu bapa mestilah  komited  dan  beriltizam  untuk  menentukan kejayaan anak-anak  sehingga mencapai  matlamatnya kerana yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Persoalannya,  apakah peranan ibu bapa dalam menentukan kejayaan anak-anak?

Pada hemat saya, ibu bapa berperanan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak. Hal  ini  dikatakan demikian  kerana ibu bapa harus mensyukuri bahawa anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik mereka dengan penuh kasih sayang. Sabda Rasulullah SAW, “Anak-anak umpama sehelai kain putih, terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkannya sama ada Yahudi, Majusi atau Nasrani’’.  Lagi pun, curahan kasih sayang ibu bapa membolehkan anak-anak belajar dengan tenang dan selesa. Ironinya, jika kasih sayang tidak diberikan atau sekadar hangat-hangat ayam, anak-anak akan berasa gelisah semasa belajar. Oleh itu, ibu bapa hendaklah memberi kasih sayang kepada anak-anak dalam kehidupan harian. Contohnya, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk memberi bimbingan kepada anak-anak. Bimbingan yang kondusif membolehkan anak-anak belajar dengan efektif. Ibu bapa boleh membimbing anak-anak menyediakan jadual belajar dan menunjukkan teknik menjawab soalan. Ibu bapa juga boleh memanfaatkan perkembangan teknologi maklumat dengan melayari laman sesawang yang berkaitan dengan pendidikan. Latihan-latihan yang efektif pasti akan membuka minda anak-anak.  Tegasnya,  kasih sayang ibu bapa merupakan wahana yang cukup efektif untuk menentukan kejayaan anak-anak..

    Selain itu,  ibu bapa boleh menentukan kejayaan anak-anak dengan memberi didikan agama dan moral yang sempurna. Saya  berpendapat  sedemikian  kerana didikan agama dan moral dapat menjamin keimanan remaja agar dapat membezakan antara kaca dengan permata. Tambahan pula, didikan agama yang dibekalkan kepada anak dapat memastikan bahawa anak-anak mereka mempunyai jati diri yang kukuh untuk menghindarkan diri dari terjerumus dalam gejala sosial. Namun begitu, realitinya pada hari ini, sesetengah ibu bapa mengagungkan  materialistik  sehingga lupa menunaikan kewajipan mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membekalkan ajaran agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Misalnya, ibu bapa boleh mengajar anak-anak mereka sendiri atau menghantar mereka ke sekolah agama.  Ibu bapa harusnya membimbing anak-anak untuk menunaikan solat fardu, membaca Al-Quran dan berzikir. Amalan-amalan ini akan melembutkan hati dan mententeramkan jiwa serta melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia. Sifat ini yang akan menjadi darah daging dalam diri anak-anak dan mendorong mereka untuk berkelakuan baik seterusnya sentiasa menyayangi keluarga. Jelaslah, didikan agama dan moral penting dalam usaha menentukan kejayaan anak-anak.

    Di samping itu, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Dalam konteks ini, ibu bapa sememangnya perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka baik kerana segala perlakuan mereka akan diperhatikan dan diteladani oleh anak-anak mereka. Sekiranya ibu bapa sentiasa bertengkar dan bersikap tidak senonoh di hadapan anak-anak, tentunya anak-anak akan terikut-ikut tingkah laku ibu bapa mereka. Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa harus menunjukkan sahsiah yang tinggi dan menjadi idola kepada anak-anak. Tamsilnya,  ibu bapa haruslah mengamalkan sikap rajin dengan membaca pada masa lapang.  Ibu bapa juga harus tabah dan cekal semasa menghadapi dugaan hidup yang penuh dengan pancaroba. Lagi pun, ibu bapa patut mengikis sikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan itu, anak-anak akan mencontohi nilai kerajinan, ketabahan, dan kecekalan ibu bapa yang dapat memberi inspirasi kepada anak-anak supaya berjaya dalam hidup. Saya optimis,   amalan ibu bapa yang baik dapat menentukan kejayaan anak-anak.

Sementelahan itu,  ibu bapa boleh menentukan kejayaan anak-anak dengan menjaga kebajikan anak-anak. Hal ini memang benar kerana anak-anak perlu diasuh bagai menatang minyak yang penuh dan keperluan asas anak-anak perlu dipenuhi demi kecemerlangan anak-anak. Lagi pun, keprihatinan terhadap kebajikan asasi memang penting untuk membentuk anak-anak yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intenlek. Sebaliknya, jika kebajikan diabaikan, anak-anak akan kehilangan pedoman hidup dan tiada impian masing-masing. Oleh hal yang demikan, ibu bapa perlulah menjaga aktiviti-aktiviti harian anak-anak dengan penuh sabar dan teliti. Contohnya,  ibu bapa perlulah menyediakan kemudahan pembelajaran yang kondusif di rumah. Suasana ceria dan selesa ini akan merangsang minda anak-anak untuk membuat kerja rumah mahupun menelaah pelajaran secara konsisten. ibu bapa juga harus menggalakkan anak-anak beriadah dan menyediakan makanan yang seimbang untuk anak-anak supaya badan mereka sihat dan minda menjadi cerdas. Impaknya, anak-anak dapat mencapai kecemerlangan akademik dan kokurikulum.  Sudah terang lagi bersuluh,   keprihatinan ibu bapa terhadap kebajikan anak-anak dapat menentukan kejayaan anak-anak.

    Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah prihatin terhadap perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Hal ini bermaksud, dari semasa ke semasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak sekolah untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Ibu bapa juga perlu mengetahui kerja-kerja sekolah dan aktiviti-kativiti yang dilaksanakan di sekolah. Cuba kita bayangkan sekiranya ibu bapa tidak mengendahkan perkembangan anak-anak di sekolah, sudah pasti anak-anak akan berasa mereka tidak dihargai. Sehubungan dengan itu, ibu bapa harus mengambil tahu aspek perkembangan akademik dan kokurikulum anak-anak di sekolah. Tamsilnya, ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalam pertemuan antara ibu bapa dan guru seperti Hari Terbuka. Ibu bapa juga perlu memastikan bahawa bimbingan yang diberikan kepada anak-anak mereka tidaklah bagai mencurahkan air ke daun keladi. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah anak-anak perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Kesannya, anak-anak akan dapat mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum. Nyatalah, dengan mengikuti perkembangan anak-anak di sekolah, ibu bapa dapat menentukan kejayaan anak-anak.

Natijahnya,  ibu bapa perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan pragmatik untuk menentukan kejayaan anak-anak supaya negara dapat melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Usaha  yang sistematik  dan  proaktif  mestilah  digerakkan  mulai  dari  sekarang  kerana  perjalanan  yang  beribu  batu, mestilah bermula dengan langkah yang pertama!
Back to Top