-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3
Cara-cara Mengatasi Masalah Disiplin Pelajar

Isu-isu yang berkaitan dengan masalah disiplin pelajar kerap menjadi berita utama televisyen dan surat khabar. Paparan di televisyen dan surat khabar jelas menunjukkan bahawa masalah disiplin pelajar semakin meningkat setiap tahun. Pada pendapat saya, masalah disiplin pelajar tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah disiplin pelajar.

Pihak yang paling utama memainkan peranan dalam mengatasi masalah disiplin pelajar ialah pihak sekolah. Hal ini kerana pihak sekolah mempunyai kuasa melaksanakan peraturan bagi membendung perbuatan yang berkaitan disiplin pelajar. Sewajarnya pelajar yang melanggar peraturan sekolah perlu dihukum dengan hukuman yang setimpal. Pihak sekolah juga boleh menggunakan khidmat kaunselor untuk memberi nasihat kepada pelajar.

Selain itu, pelajar sendiri boleh membantu mengatasi masalah disiplin pelajar. Oleh itu, pelajar mestilah mengamalkan nilai-nilai murni semasa berada di sekolah seperti bekerjasama dan bertolak ansur. Pelajar juga mesti mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti tidak bergaduh, tidak ponteng kelas atau melakukan vandalisme. Pelajar juga mesti mendengar nasihat guru-guru dan berbaik-baik dengan semua rakan.

Ibu bapa juga turut memainkan peranan dalam mengatasi masalah disiplin pelajar. Hal ini kerana ibu bapa boleh memberikan nasihat kepada anak-anak agar mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Ibu bapa juga boleh menasihati anak-anak mereka agar
mendengar dan mengikuti nasihat guru-guru. Jika ibu bapa ada masa yang terluang, ibu bapa boleh datang ke sekolah untuk bertanyakan tentang perkembangan pelajaran mahupun tingkah laku anak-anak mereka di sekolah.

Masyarakat juga boleh memainkan peranan dalam mengatasi masalah disiplin pelajar. Anggota masyarakat yang lebih dewasa hendaklah menasihati pelajar yang ponteng sekolah. Jika perlu, ahli masyarakat boleh menghubungi pengetua sekolah atau pihak sekolah jika ternampak pelajar yang merokok atau ponteng sekolah. Ahli masyarakat yang prihatin dengan sikap negatif pelajar pasti dapat membantu mengatasi masalah disiplin pelajar.

Di samping itu, media massa seperti stesen televisyen dan surat khabar juga boleh memainkan peranan. Sebagai contoh stesen televisyen boleh menyiarkan gambar pelajar yang terlibat dalam masalah disiplin pelajar untuk dijadikan pengajaran kepada pelajar lain. Pada masa yang sama, program yang menunjukkan aksi ganas mesti dihentikan oleh syarikat televisyen. Surat khabar pula boleh menyiarkan rencana tentang keburukan melanggar peraturan sekolah.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah disiplin pelajar. Masalah disiplin pelajar perlu dibanteras kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat dan negara. Pada pendapat saya, masalah disiplin pelajar ini pasti dapat diatasi, jika semua pihak dapat memainkan peranan yang penting. Sesungguhnya, dalam usaha untuk menangani masalah disiplin pelajar, penglibatan daripada banyak pihak amat diperlukan.

Back to Top