-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3

Aktiviti-aktiviti Berfaedah Bagi Mengisi Masa Lapang

Setiap orang mesti mempunyai masa lapang setiap hari. Masa lapang ini mesti diisi dengan perkara yang berfaedah. Pada pandangan saya ibu bapa boleh membimbing anak-anak agar menggunakan masa lapang dengan aktiviti yang baik. Terdapat beberapa aktiviti berfaedah yang boleh kita lakukan bagi mengisi masa lapang.

Antara aktiviti yang boleh kita lakukan untuk mengisi masa lapang ialah membaca. Sesungguhnya, kita akan dapat menambahkan pengetahuan dan memperbaiki penguasaan bahasa melalui pembacaan. Terdapat pelbagai jenis bahan bacaan yang boleh kita baca seperti akhbar, majalah dan buku. Kita boleh membaca bahan bacaan tersebut di rumah atau di perpustakaan awam.

Selain itu, kita juga boleh mengisi masa lapang dengan membantu ibu bapa di rumah. Kita boleh membantu ibu mengemas rumah, membasuh pakaian dan membasuh pinggan-mangkuk. Kita juga boleh menolong bapa mencuci kereta atau menyapu sampah di halaman rumah. Sikap bantu-membantu dalam keluarga ini akan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Masa lapang kita juga boleh diisi dengan aktiviti bersenam dan bersukan. Dengan bersenam dan bersukan badan kita akan menjadi sihat. Kita boleh bersenam dan bersukan di padang permainan atau di gimnasium. Aktiviti bersenam dan bersukan juga akan dapat mencerdaskan minda kita.

Di samping itu, kita juga boleh melayari internet pada waktu lapang. Dengan melayari internet, kita akan dapat menambahkan pengetahuan. Namun demikian, kita hendaklah menjauhi halaman yang negatif kerana halaman ini banyak keburukannya. Kita juga mesti menghadkan masa melayari internet kerana jika terlalu lama, ia boleh meletihkan minda dan badan kita.

Kita juga boleh mengisi masa lapang dengan menonton televisyen dan mendengar radio. Namun demikian, kita mesti menghadkan masa menonton televisyen dan mendengar radio kerana ia boleh mengganggu penggunaan masa kita untuk aktiviti-aktiviti yang lebih berfaedah seperti membaca buku. Antara contoh rancangan yang baik untuk kita tontoni ialah berita dan rencana tentang sains dan teknoiogi. Manakala rancangan hiburan hanya akan melalaikan kita jika ditonton terlalu banyak.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa aktiviti berfaedah yang boleh kita gunakan untuk mengisi masa lapang. Seseorang yang dapat menggunakan masa lapang dengan baik, pasti akan mendapat banyak manfaat. Pada pendapat saya, masa itu lebih bernilai daripada emas, justeru janganlah kita membazirkan masa lapang begitu sahaja. Kita hendaklah menggunakan masa lapang dengan sebaik mungkin.
Back to Top