-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan SPM

Industri pelancongan merupakan salah satu punca pendapatan negara. Jelaskan usaha-usaha untuk memajukan industri pelancongan negara dan kesan positif daripada industri ini.

Rangka Karangan

Pendahuluan
Industri pelancongan amat penting - memberikan pulangan yang lumayan.

Isi-isi penting
Usaha memajukan industri pelancongan:
1 Promosi.
2 Kemudahan infrastruktur ditambah.
3 Memperbanyak tempat pelancongan baharu.
Kesan positif industri pelancongan:
1 Meningkatkan pendapatan negara.
2 Mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
3 Dapat meningkatkan imej negara.

Penutup
Industri pelancongan penting kerana memberikan pulangan yang lumayan kepada pembangunan negara.

Industri pelancongan berkembang pesat sejak sedekad yang lalu. Pengisytiharan “Tahun Melawat Malaysia 2007” pada tahun 2007 telah membawa masuk lebih kurang 6.5 juta pelancong asing ke negara kita dengan pandapatan RM4.1 bilion. Menyedari tentang betapa pentingnya industri pelancongan kepada pendapatan negara, usaha-usaha untuk memajukan sektor ini sedang giat dilancarkan.

Kempen-kempen untuk menarik pelancong asing mengunjungi negara kita sentiasa dijalankan. Sebagai langkah awal, kerajaan Malaysia dengan kerjasama beberapa agensi swasta dan negara Eropah lain telah mengadakan kempen seperti pengedaran risalah dan pameran di luar negara. Pelbagai keistimewaan tempat-tempat menarik ditonjolkan dalam kempen ini, termasuklah kebudayaan pelbagai kaum, masyarakat majmuk yang bersatu padu, tempat-tempat bersejarah, makanan masyarakat tempatan dan sebagainya. Pakej pelancongan menarik yang ditawarkan oleh agensi-agensi pelancongan negeri turut mempromosikan sendiri negeri-negeri mereka dengan mengadakan tahun melawat negeri masing-masing. Contohnya, pada tahun 2008 telah diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Melaka.

Selain itu, kerajaan juga telah membelanjakan wang yang banyak untuk memajukan lagi kemudahan infrastuktur dan kemudahan-kemudahan asas yang lain seperti tempat penginapan, hotel, gedung beli-belah, tempat menjamu selera dan lain-lain. Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang merupakan langkah bijak kerajaan untuk mempertingkatkan kedatangan pelancong asing ke negara kita. Hal ini kerana kemudahan yang disediakan di KLIA lebih canggih dan boleh memuatkan lebih banyak kapal terbang yang mendarat dalam satu masa. Sistem jalan raya dan pengangkutan juga telah dimajukan seperti LRT, monorel, komuter dan sebagainya untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pelancong. Tempat-tempat penginapan yang selesa dengan harga yang berpatutan didirikan di merata tempat.

Kerajaan dengan kerjasama agensi-agensi pelancongan telah membuka lebih banyak tempat pelancongan dan tempat yang boleh menarik pelancong mengunjunginya, sama ada dari luar mahupun dalam negeri. Melalui Kementerian Pelancongan dengan kerjasama pusat-pusat pemiagaan mega telah mengadakan Jualan Mega sebanyak tiga kali dalam setahun untuk menarik pelancong membeli-belah di negara ini. Kedai-kedai bebas cukai yang terletak di Pulau Langkawi telah menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk membeli-belah di sana. Selain itu, kerajaan turut mengadakan pelbagai aktiviti sendiri yang bertujuan untuk memberikan kesempatan kepada pelancong menikmati percutian mereka dengan rasa puas hati. Antara aktiviti yang diadakan ialah pesta buah-buahan dan ulam-ulaman tempatan, pesta flora dan fauna, pesta perayaan Malaysia, aktiviti sukan dan lain-lain. 

Sebenarnya, kehadiran pelancong asing ke negara kita memberikan kesan yang positif kepada negara dan rakyat keseluruhannya. Industri pelancongan dapat meningkatkan pendapatan negara melalui pengaliran masuk wang asing ke negara kita. Pada tahun 2007, negara kita telah mencatatkan pendapatan yang amat memberangsangkan, iaitu RM4.1 bilion. Pendapatan negara ini dapat disalurkan untuk pembangunan negara. Kerajaan negeri juga mendapat keuntungan daripada sektor pelancongan ini kerana sedikit sebanyak dapat menabung wang negeri.

Industri pelancongan telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Pembukaan lebih banyak hotel, chalet, dan tempat-tempat pelancongan meningkatkan peluang untuk anak tempatan mendapat kerja sekali gus mengurangkan kadar pengangguran di negara kita. Selain itu, anak-anak tempatan yang mempunyai minat untuk menceburi industri pelancongan akan dapat menimba pengalaman mereka di tempat-tempat kerja mereka. Industri pelancongan juga dapat meningkatkan pendapatan penduduk setempat dengan meningkatkan permintaan terhadap barangan setempat seperti hasil-hasil kraf tangan, seramik dan sebagainya.

Industri pelancongan bukan sahaja memberikan pulangan kepada negara dan rakyat, tetapi yang lebih penting lagi adalah tentang matlamat dan cita-cita negara untuk menjulang nama Malaysia ke mercu dunia. Jika dahulu orang mengenali Malaysia kerana pernah dijajah oleh Inggeris, tetapi melalui industri pelancongan, mentaliti dan tanggapan ini dapat diubah. Bahkan mereka turut menyanjung negara kita kerana telah berjaya menempa nama dalam penganjuran sukan bertaraf dunia seperti Formula 1 dan juga Sukan Komanwel 1998.

Maka jelaslah di sini, industri pelancongan merupakan salah satu industri yang penting untuk meningkatkan pendapatan negara. Hasil daripada pendapatan tersebut, bukan sahaja menguntungkan negara malah juga penduduk tempatan. Seharusnya, industri ini perlu dipertingkatkan lagi dan rakyat juga perlu memainkan peranan mereka untuk menarik pelancong untuk terus datang ke negara ini.
Back to Top