-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3

Kebaikan Menyertai Aktiviti Kokurikulum

Aktiviti kokurikulum merupakan satu daripada elemen yang terdapat dalam pendidikan di sekolah. Aktiviti kokurikulum terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu sukan, permainan dan unit beruniform. Kebiasaannya aktiviti kokurikulum diadakan pada sebelah petang atau hujung minggu. Terdapat beberapa kebaikan apabila pelajar menyertai kegiatan kokurikulum.

Antara kebaikan aktiviti kokurikulum ialah pelajar dapat menambahkan pengetahuan dan kemahiran tentang sesuatu bidang yang disertai. Contohnya, dengan menyertai aktiviti unit beruniform kadet polis, pelajar akan mengetahui tentang bidang pekerjaan sebagai anggota polis. Jika pelajar menyertai aktiviti perkhemahan unit beruniform pula, pelajar dapat pengalaman tentang bermalam dalam khemah dan aktiviti berkhemah di hutan. Pengetahuan dan pengalaman ini boleh digunakan oleh pelajar setelah menamatkan zaman persekolahan kelak.

Selain itu, pelajar juga dapat membentuk disiplin diri. Dalam aktiviti kokurikulum yang disertai, pelajar akan diajar tentang kepentingan disiplin diri. Pembentukan disiplin diri ini amat penting daiam menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar. Pelajar yang mempunyai disiplin diri yang tinggi biasanya akan berjaya dalam pelajaran dengan cemerlang.

Penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum juga membolehkan pelajar memupuk nilai-nilai murni dalam diri. Nilai-nilai murni ini terpupuk dalam diri pelajar secara langsung atau secara tidak langsung. Antara nilai-niiai murni tersebut ialah nilai bekerjasama, bertolak ansur dan berdikari. Amalan nilai-nilai murni ini akan membolehkan pelajar menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik.

Di samping itu, penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan akan menjadikan tubuh pelajar itu sihat dan cergas. Hal ini kerana pelajar akan berpeluh apabila bersukan dan sisa toksik akan keluar daripada badan melalui peluh. Dengan bersukan juga, pelajar dapat menyihatkan jantung mereka. Apabila pelajar sihat, mudahlah pelajar memberikan tumpuan kepada pelajaran yang diajar oleh guru.

Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar juga dapat memenuhi masa lapang mereka dengan perkara yang berfaedah. Jika pelajar tidak menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar cenderung untuk menonton televisyen. Sesungguhnya, sebahagian besar rancangan televisyen adalah berbentuk hiburan dan ia kurang berfaedah kepada pelajar. Terdapat juga pelajar yang menghabiskan masa lapang mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti melepak di pusat membeli-belah atau pusat siber.

Sebagai kesimpulan, terdapat banyak kebaikannya jika pelajar menyertai aktiviti kokurikulum. Oleh itu, sewajarnya ibu bapa perlu memberi dorongan kepada anak-anak untuk menyertai aktiviti kokurikulum. Pada pandangan saya, aktiviti kokurikulum telah dapat menghasilkan pelajar yang berkualiti dan seimbang daripada segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Sesungguhnya, negara amat memerlukan pelajar yang berkualiti bagi memajukan negara pada masa hadapan.
Back to Top