-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3

Faedah Mempunyai Ramai Rakan

Selain ibu bapa dan guru, rakan juga penting dalam kehidupan kita. Dalam banyak hal atau perkara, rakan banyak mempengaruhi tindakan kita. Pada pandangan saya, kita mestilah memilih rakan yang baik dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Terdapat beberapa faedah jika kita mempunyai ramai rakan.

Antara kebaikan mempunyai ramai rakan ialah kita dapat teman untuk berbual. Kita boleh berbual tentang pelbagai perkara yang berlaku di sekeliling kita. Dengan berbual, kita dapat menghilangkan rasa bosan dan sunyi. Selain itu, perbualan dengan rakan juga membolehkan kita menambahkan perbendaharaan kata dan memperbaiki sebutan sesuatu perkataan.

Selain itu, kita juga dapat menambahkan pengetahuan apabila mempunyai ramai rakan. Kita boleh menambahkan pengetahuan melalui perbualan dengan rakan menggunakan teknologi maklumat seperti internet. Pengetahuan yang kita perolehi ini boleh digunakan dalam menjalani kehidupan seharian. Kita juga boleh menggunakan pengetahuan yang diperolehi untuk menjawab soalan peperiksaan.

Faedah lain mempunyai ramai rakan ialah kita dapat teman untuk belajar dan mengulang kaji pelajaran. Sesungguhnya, pembelajaran secara kumpulan membolehkan kita belajar dengan lebih baik. Contohnya, jika kita mengetahui tentang tajuk yang dibincangkan kita dapat membantu rakan. Sebaliknya, jika kita kurang memahami sesuatu tajuk pelajaran rakan kita yang lebih mahir dapat membantu kita.

Di samping itu, dengan mempunyai ramai rakan, kita dapat meminta pertolongan apabila kita menghadapi sesuatu masalah. Antara bentuk pertolongan tersebut ialah kita boleh meminta bantuan daripada rakan, apabila berlaku perkara yang tidak diingini seperti kita kehilangan wang, ditimpa kemalangan atau sebagainya. Kita juga boleh meminta rakan memaklumkan kepada guru apabila kita tidak dapat hadir ke sekolah. Sebagai rakan yang baik, kita juga mesti menolong rakan yang menghadapi masalah.

Faedah lain mempunyai ramai rakan ialah keselamatan diri kita akan lebih terjamin. Sekarang ini banyak peristiwa yang sering berlaku di kalangan pelajar seperti dibuli, dirompak atau diculik. Dengan berjalan bersama rakan-rakan dalam satu kumpulan, pasti keselamatan kita akan lebih terjamin. Apabila berlaku sesuatu kemalangan pula rakan- rakan juga dapat memberikan bantuan dengan segera.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa faedah mempunyai ramai rakan. Setiap orang mesti cuba untuk mendapatkan seberapa banyak rakan yang baik dan positif. Pada pendapat saya, rakan yang baik ialah rakan yang dapat memberikan bantuan apabila kita dilanda masalah. Walau bagaimanapun, kita mestilah mengelakkan diri daripada berkawan dengan rakan yang mempunyai perangai negatif seperti suka melepak, ponteng sekolah atau membuli.
Back to Top