-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3

Tanggungjawab Ibu Bapa Terhadap Anak-anak


Isu-isu yang berkaitan dengan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak kerap dibincangkan dalam majalah dan stesen teievisyen. Sesungguhnya tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak amat besar dan perlu dilaksanakan dengan baik. Pada pandangan saya, tidak wajar ibu bapa mengambil mudah dalam menjalankan tanggungjawab terhadap anak-anak. Dalam kehidupan berkeluarga, terdapat beberapa tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh ibu bapa terhadap anak-anak.

Tanggungjawab pertama ibu bapa ialah menyediakan keperluan asas kepada anak- anak. Keperluan asas ini mesti diberikan sejak anak-anak kecil lagi. Antara keperluan asas tersebut ialah makanan, pakaian dan tempat tinggal. Sesungguhnya, pemakanan seimbang yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak akan membolehkan anak-anak membesar dengan sihat dan cerdas.

Selain itu, ibu bapa juga mesti memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Kasih sayang amat penting untuk membolehkan emosi anak-anak berkembang dengan sihat dan baik. Kasih sayang kepada anak-anak mesti diberikan dengan adil dan saksama. Kasih sayang ini mesti diberikan kepada anak-anak sepanjang hidup mereka.

Ibu bapa juga mesti memberikan pendidikan kepada anak-anak. Anak-anak perlu dihantar ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan formal. Anak-anak juga mesti diberikan pendidikan agama dan moral supaya menjadi anak yang baik dan berguna untuk bangsa, agama dan negara. Anak-anak yang memperolehi pendidikan yang sewajarnya akan dapat menjalani kehidupan dengan baik semasa mereka dewasa kelak.

Di samping itu, ibu bapa juga mesti menjaga keselamatan anak-anak. Keselamatan anak-anak amat penting agar anak-anak tidak ditimpa sebarang kemalangan atau diculik. Ibu bapa juga mesti memastikan anak-anak selamat dalam perjalanan pergi dan balik dari sekolah. Hal ini kerana ibu bapa akan turut mengalami kesusahan apabila anak-anak ditimpa kemalangan.

Ibu bapa juga perlu menyemai nilai-nilai murni di kalangan anak-anak. Amalan nilai- nilai murni ini penting untuk membolehkan anak-anak menjadi warganegara yang baik dan diterima oleh masyarakat. Antara amalan nilai-nilai murni tersebut ialah rajin, amanah, jujur, bertanggungjawab dan toleransi. Amalan nilai-nilai murni ini penting dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh ibu bapa terhadap anak-anak. Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak ini perlu dilaksanakan secara berterusan. Pada pendapat saya, pihak kerajaan boleh membantu ibu bapa dalam melaksanakan tanggungjawabnya terhadap anak-anak melalui kursus keibubapaan dan sesi kaunseling. Anak-anak pula mesti membalas segala jasa ibu bapa setelah mereka dewasa dan bekerja kelak.
Back to Top