-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3
Cara-Cara Memupuk Perpaduan Kaum

Isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan kaum kerap diperkatakan dalam surat khabar dan televisyen. Perpaduan kaum mendatangkan banyak faedah kepada masyarakat dan negara. Pada pendapat saya, isu perpaduan kaum tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat. Terdapat beberapa cara bagi memupuk perpaduan kaum di negara kita.

Keluarga boleh memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan kaum. Hal ini kerana ibu bapa boleh mendidik anak-anak agar berbaik-baik dengan kaum lain. Oleh itu, ibu bapa mesti menjadi contoh kepada anak-anak dengan mengamalkan nilai hormat- menghormati terhadap jiran berbilang kaum. Semasa hari perayaan kaum pula, ibu bapa boleh membawa anak-anak menziarahi rumah jiran tetangga.

Selain itu, masyarakat juga boleh memainkan peranan untuk memupuk perpaduan kaum. Contohnya, masyarakat hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Antara nilai-nilai murni yang perlu diamalkan ialah nilai bekerjasama dan bertolak ansur. Jika ada wujudnya masalah kaum, pemimpin kaum hendaklah berbincang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Media massa seperti televisyen dan surat khabar juga boleh memainkan peranan untuk memupuk perpaduan kaum. Hal ini kerana media massa boleh mempengaruhi minda seseorang tentang sesuatu perkara. Contohnya, stesen televisyen boleh menyiarkan iklan-iklan yang membawa mesej perpaduan kaum. Surat khabar pula boleh menyiarkan rencana tentang kebaikan perpaduan kaum.

Di samping itu, pihak sekolah juga boleh memainkan peranan untuk memupuk perpaduan kaum. Contohnya, pihak sekolah boleh memberi kesedaran kepada pelajar tentang kebaikan perpaduan kaum secara berterusan. Pihak sekolah juga boleh merancang program yang melibatkan pelbagai kaum di kalangan pelajar sekolah. Antara program yang boleh dilaksanakan ialah program sukan dan bergotong-royong bagi menceriakan kawasan sekolah.

Pihak lain yang boleh memainkan peranan untuk memupuk perpaduan kaum ialah pihak kerajaan. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai sumber kewangan bagi melaksanakan program yang boleh memupuk perpaduan kaum. Program Sambutan Bulan Kemerdekaan merupakan program yang baik ke arah perpaduan kaum dan ia mesti diteruskan. Pihak kerajaan juga boleh menangkap individu yang cuba untuk merosakkan perpaduan kaum.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa cara untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat. Semua kaum mesti mementingkan negara daripada kepentingan diri sendiri dan kaum. Pada pendapat saya, perpaduan kaum membolehkan Malaysia menjadi destinasi pelabur asing untuk melabur. iusteru, perpaduan kaum yang wujud membolehkan Malaysia terus aman dan maju.
Back to Top