-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3

Kebaikan Melawat Tempat-tempat Bersejarah

Melawat tempat-tempat bersejarah adalah aktiviti yang baik. Di negara kita, banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati. Antara negeri-negeri yang terdapat banyak tempat bersejarah ialah negeri Melaka, Pulau Pinang dan Perak. Sebenarnya terdapat beberapa kebaikan jika kita melawat tempat-tempat yang bersejarah.

Kebaikan pertama melawat tempat-tempat bersejarah ialah dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman. Pengetahuan yang diperolehi semasa melawat ke tempat- tempat yang bersejarah ini pasti akan kekal lebih lama. Pengalaman yang kita alami juga boleh diceritakan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan. Antara tempat bersejarah yang boleh kita lawati di negara kita ialah Kota A’Famosa, di Melaka dan Kota Belanda di Perak.

Selain itu, lawatan ke tempat-tempat yang bersejarah juga boleh memupuk semangat patriotisme dalam diri. Semangat patriotisme ialah semangat cinta akan negara. Antara tempat-tempat sejarah yang dapat memupuk semangat patriotisme ialah Stadium Merdeka di Kuala Lumpur dan Padang Pahlawan di Melaka. Tempat-tempat ini merupakan tempat berlangsungnya sambutan kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Kebaikan seterusnya melawat tempat-tempat bersejarah ialah dapat menghargai jasa pemimpin negara. Terdapat ramai pemimpin negara yang telah menabur bakti kepada negara. Pemimpin-pemimpin negara ini telah berkorban masa, harta dan nyawa untuk memerdekakan negara daripada penjajahan British. Selepas merdeka, terdapat ramai pemimpin negara yang telah menabur bakti kepada negara yang perlu dihargai jasanya seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Di samping itu, dengan melawat tempat-tempat bersejarah juga kita dapat menghargai kemerdekaan negara. Contohnya, Padang Kota di Pulau Pinang mengingatkan kita bahawa negara kita pernah dijajah oleh British dan di situ sering berlaku peperangan pada masa tersebut. Justeru, kita hendaklah menghargai kemerdekaan negara pada masa kini agar negara kita tidak dijajah lagi. Hal ini kerana jika negara terjajah semula, pasti negara akan kucar-kacir dan rakyat akan hidup susah.

Dengan melawat tempat-tempat bersejarah, kita juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri. Nilai-nilai murni ini terpupuk secara langsung atau secara tidak langsung. Antara nilai-nilai murni tersebut ialah nilai bekerjasama, bertolak ansur dan tidak mementingkan diri sendiri. Jika kita dapat mengamalkan nilai-nilai murni ini dalam kehidupan seharian pasti negara akan aman dan damai.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa kebaikan yang kita perolehi apabila melawat tempat-tempat bersejarah. Bagi pihak kerajaan, tempat-tempat bersejarah ini mesti terus dipelihara dan dipulihara. Pada pendapat saya, para pelajar mesti digalakkan untuk melawat tempat-tempat bersejarah. Justeru, ibu bapa boleh memainkan peranan dengan membawa anak-anak melawat tempat-tempat bersejarah semasa musim cuti sekolah.
Back to Top