-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3

Kebaikan Mengadakan Aktiviti Sukan

Aktiviti sukan merupakan satu daripada cabang bidang kokurikulum. Kebanyakan aktiviti sukan diadakan di sebelah petang atau hujung minggu. Pada pendapat saya, semua pelajar wajar menyertai aktiviti sukan. Terdapat beberapa kebaikan apabila pihak sekolah mengadakan aktiviti sukan untuk para pelajar.

Antara kebaikan mengadakan aktiviti sukan ialah pelajar dapat menyihatkan badan. Apabila pelajar bersukan, pelajar akan berpeluh. Peluh yang keluar ini akan membawa bersama sisa toksik dalam badan kita. Aktiviti sukan juga membolehkan darah mengalir dengan lebih lancar. Oleh itu, jantung kita dapat berfungsi dengan lebih baik.

Selain itu, pihak sekolah juga boleh mencungkil bakat pelajar menerusi aktiviti sukan yang diadakan. Bakat pelajar akan dikenalpasti dan pihak sekolah akan dapat mengilap bakat mereka ini untuk diketengahkan. Sesungguhnya, negara kita amat memerlukan atlet sukan yang berbakat dan hebat untuk mengharumkan nama negara. Atlet sukan yang berjaya di peringkat dunia akan membantu menaikkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Dengan adanya pelbagai aktiviti sukan di sekolah, secara tidak langsung pihak sekolah dapat membentuk disiplin diri pelajar. Contohnya, pelajar akan diingatkan tentang kepentingan mematuhi peraturan sukan. Pelajar juga akan diingatkan tentang perlunya menepati dan menghargai masa. Disiplin diri yang tinggi membolehkan pelajar berjaya dalam bidang sukan dan juga pelajaran.

Di samping itu, pihak sekolah juga dapat menyemai nilai-nilai murni di kalangan pelajar. Nilai-nilai murni ini dapat diterapkan secara langsung atau secara tidak langsung. Antara nilai-nilai murni tersebut ialah nilai kesabaran, ketabahan dan menerima kekalahan dengan positif. Nilai-nilai murni ini dapat menjadikan pelajar lebih cemerlang pada masa akan datang.

Aktiviti sukan yang diadakan oleh pihak sekolah juga membolehkan pelajar mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah. Jika tiada aktiviti sukan, pelajar cenderung untuk menonton televisyen. Pelajar juga cenderung untuk melepak apabila ada masa lapang. Jika pelajar melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah, ia akan hanya merugikan pelajar pada masa hadapan.

Sebagai kesimpulan, terdapat banyak kebaikan mengadakan aktiviti sukan di sekolah. Oleh itu, ibu bapa wajar menggalakkan anak-anak mereka menyertai aktiviti sukan. Pada pendapat saya, pihak sekolah wajar mengadakan aktiviti sukan ini secara berterusan agar pelajar mendapat faedah yang maksimum ‘Majulah Sukan Untuk Negara’.
Back to Top