-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3

Aktiviti Sambutan Bulan Kemerdekaan Di Sekolah


Isu-isu yang baerkaitan dengan kemerdekaan negara kerap menjadi paparan di surat khabar, khususnya pada bulan Ogos setiap tahun. Hal ini kerana pada 31 Ogos setiap tahun, Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan. Pada pendapat saya, setiap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menjayakan sambutan kemerdekaan yang diadakan. Pelbagai program juga turut diatur oleh pihak sekolah untuk menjayakan sambutan Bulan Kemerdekaan di peringkat sekolah.

Antara program yang diadakan di peringkat sekolah ialah majlis pelancaran. Majlis pelancaran ini akan diadakan di dalam dewan atau tempat lapang. Majlis pelancaran ini dihadiri oleh pelajar, guru-guru serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Dalam majlis pelancaran ini tuan pengetua akan memberikan ucapan manakala pelajar akan menyanyikan beberapa lagu patriotik.

Selain itu, terdapat juga program mengibarkan Jalur Gemilang. Jalur Gemilang akan dipasang di sekeliling sekolah seperti di pintu masuk sekolah, dewan sekolah dan di hadapan pejabat. Jalur Gemilang juga turut dipasang di dalam kelas supaya kelas bertambah ceria. Terdapat juga sekolah yang mengadakan pertandingan mengibarkan Jalur Gemilang antara kelas.

Di samping itu, diadakan juga pertandingan dalaman sekolah. Pertandingan ini biasanya dianjurkan oleh Panitia Sejarah atau Persatuan Sejarah sekolah. Antara pertandingan yang diadakan ialah pertandingan mengarang esei, kuiz, syarahan, pidato, perbahasan dan deklamasi sajak. Lazimnya, hadiah dan sijil akan diberikan kepada para pemenang semasa majlis penutup sambutan Bulan Kemerdekaan sebagai tanda penghargaan.

Terdapat juga pihak sekolah yang mengadakan sambutan Ambang Merdeka. Sambutan Ambang Merdeka diadakan pada malam 30 Ogos. Sambutan Ambang Merdeka ini lazimnya dihadiri oleh pelajar, guru dan pemimpin masyarakat yang dijemput. Antara aktiviti yang dijalankan semasa sambutan Ambang Merdeka ialah ceramah dan nyanyian lagu patriotisme.

Acara terakhir sambutan Bulan Kemerdekaan ialah majlis penutup. Majlis penutup diadakan pada 16 September. Majlis penutup ini dihadiri oleh pelajar, guru dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Antara aktiviti yang diadakan ialah ucapan pengetua, persembahan pelajar dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan yang diadakan sepanjang Bulan Kemerdekaan.

Sebagai kesimpulan, banyak aktiviti yang diadakan dalam sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat sekolah. Program-program yang diadakan ini banyak memberikan kebaikan kepada pelajar dan guru. Pada pendapat saya, program sambutan Bulan Kemerdekaan telah dapat memupuk semangat patriotisme di kalangan pelajar. Secara tidak langsung juga, program sambutan Bulan Kemerdekaan ini dapat memupuk perpaduan kaum di kalangan pelajar dan guru.

Back to Top