-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3- Karangan Peribahasa
Berakit-Rakit Ke Hulu, Berenang-Renang Ke Tepian. Bersakit-Sakit Dahulu, Bersenang-Senang Kemudian

Melihat banglo mewahku dan segala harta yang kumiliki. aku seakan tidak percaya bahawa semua ini adalah hasil titik peluhku, Aku masih terdengar-dengar di cuping telingaku, kata-kata ayah. Ayah selalu berkata, ‘kita mesti berakit-rakit ke hulu, berenang- renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’. Kata-kata itu terkeluar daripada mulut ayah ketika aku merungut-rungut kerana terpaksa membantunya mengerjakan sawah kami pada setiap hari.

Sebagai anak sulung aku selalu sahaja diajak oleh ayah untuk membantunya di sawah. Oleh itu, masa remajaku banyak dihabiskan di sawah bersama kerbau, bajak, lintah dan ikan sepat. Setiap kali pulang dari sekolah, di sanalah aku menghabiskan masaku dengan membantu ayah. Aktiviti membajak, menyemai, membaja dan menuai padi sudah sebati dengan diriku.

Namun aku bercita-cita tinggi untuk cemerlang dalam pelajaran dan berjaya dalam hidup. Kata-kata ayah kujadikan sebagai pendorong untuk membakar semangatku. Oleh itu, setiap malam aku akan belajar dan mengulang kaji pelajaran hingga jauh malam. Keseronokan zaman remaja terpaksa kulupakan dan aku bertekad mengubah nasib keluargaku terutama lima orang adikku.

Aku sentiasa mengisi setiap masa terluang dengan mengulang kaji pelajaran. Akhirnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aku berjaya mendapat 10A. Aku berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Betapa terharunya aku apabila ayah sanggup menjual kerbau kesayangannya bagi menyediakan segala keperluanku untuk menghantarku ke universiti.

Semasa di universiti, aku teruskan perjuangan dengan penuh semangat dan ketabahan. Aku terpaksa melakukan kerja sambilan di restoran makanan segera untuk menampung perbelanjaan di universiti. Wang yang kuperolehi itu kugunakan sebaik mungkin. Manakala ayah pula telah membeli sebuah traktor dengan membuat pinjaman daripada Bank Agro untuk menggantikan kerbau kesayangannya.

Setelah empat tahun berhempas-pulas, akhirnya segulung ijazah menjadi milikku. Namun ijazah yang aku perolehi tidak membolehkan aku mendapat kerja sebagai pegawai dengan cepat kerana keadaan ekonomi negara yang gawat pada ketika itu. Oleh itu, aku mengambil keputusan untuk bekerja di tapak pembinaan milik Datuk Ibrahim, seorang kontraktor berjaya di kampungku. Kesungguhanku bekerja mendapat perhatian daripada majikanku lalu aku ditawarkan untuk menjadi pembantunya bagi menyiapkan sebuah projek perumahan di ibu kota.

Sebenarnya, aku begitu meminati bidang pembinaan ini dan dengan sokongan majikanku, permohonan lesen kontraktorku telah diluluskan. Sejak itu, aku tidak menoleh ke belakang lagi dan berusaha dengan lebih keras. Kini, aku telah mempunyai syarikat pembinaanku sendiri dan aku juga mempunyai 100 orang pekerja mahir. Inilah hasilnya jika kita sanggup bersusah payah terlebih dahulu seperti kata peribahasa ‘Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.
Back to Top