-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3
Di Mana Ada Kemahuan, Di Situ Ada Jalan

Sudah dua tahun berturut-turut Anuar menjadi juara pertandingan syarahan dan mewakili sekolah ke peringkat daerah. Aku begitu mencemburuinya kerana sudah dua tahun juga aku sentiasa berada di tempat kedua. Aku ingin sekali menjadi juara syarahan dan mewakili sekolahku. Walau bagaimanapun aku sedari, aku ada banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

Tahun ini aku berazam untuk menjadi juara, justeru, awal-awal lagi aku telah berlatih. Namun begitu, aku tidak pasti tajuk apa yang ingin aku sampaikan. Lantas aku meminta ibu membuat sebuah syarahan untukku. Ibuku merupakan seorang guru Bahasa Malaysia bersetuju dengan syarat aku tidak mengabaikan pelajaranku dan rajin membuat kerja rumah.

Syarahan yang dikarang oleh ibu yang bertajuk ‘Kebaikan Program Angkasawan Malaysia’ itu kurasakan begitu menarik. Mulai saat itu, aku membaca dan menghafalnya setiap kali ada waktu terluang. Ibuku sentiasa memberikan pandangan tentang cara penyampaian dan intonasi yang betul ketika menyampaikan syarahan tersebut. Ibu juga menyuruh aku bersyarah di hadapan cermin dan juga di hadapan adik-adikku untuk menambahkan keyakinan apabila berucap di hadapan orang ramai kelak.

Tiga minggu sebelum pertandingan diadakan, guru penasihat Panitia Bahasa Malaysia mengedarkan borang pertandingan syarahan. Akulah orang pertama yang mengambil borang itu dan mengesahkan penyertaanku dalam pertandingan syarahan tersebut. Anuar, kawanku pun turut mengambil borang penyertaan pertandingan. Dalam tempoh tiga minggu yang diberikan itu, aku telah berusaha bersungguh-sungguh untuk membuat persediaan.

Sejak pengesahan penyertaanku itu, aku juga semakin giat berlatih. Bukan sahaja di hadapan ahli keluargaku malah di hadapan rakan-rakanku juga. Kesungguhan aku berlatih mendapat perhatian dan tunjuk ajar daripada guru kelasku iaitu Cikgu Farid. Cikgu Farid sudi memberi tunjuk ajar kepadaku apabila meiihat kesungguhanku. Aku yakin, syarahan yang akan aku sampaikan kelak dapat memupuk semangat patriotisme di kalangan pelajar.

Pada waktu rehat Cikgu Farid bersedia meluangkan masanya untuk melatih aku. Segala tunjuk ajar Cikgu Farid dan ibu, kuikuti dengan sepenuh hati. Aku tidak berasa malu dan marah apabila mereka menegurku ketika aku berlatih menyampaikan syarahanku itu. Semua teguran itu pastinya akan dapat membantu aku mencapai impianku.

Pada hari pertandingan, aku tidak berasa gentar kerana aku telah membuat persediaan yang rapl. Aku menyampaikan syarahanku dengan lancar sekali seperti yang diajar oleh ibuku dan Cikgu Farid. Akhirnya apabila keputusan diumumkan, akulah orang yang paling gembira kerana impianku untuk menjadi juara tercapai juga sekaligus aku berpeluang mewakili sekolahku. Sesungguhnya peribahasa ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ patut menjadi pegangan hidup kita dalam setiap usaha yang kita lakukan.

Back to Top