-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3

Kebaikan Menceriakan Persekitaran Sekolah


Isu keceriaan sekolah kerap juga diperkatakan oleh masyarakat dan pegawai pelajaran. Hal ini kerana keceriaan sesebuah sekolah boleh mempengaruhi kecemerlangan pelajar dalam pelajaran. Pada pendapat saya, isu keceriaan sekolah tidak boleh dipandang ringan oleh warga sekolah. Terdapat beberapa kebaikan jika persekitaran sekolah menjadi ceria.

Antara kebaikan menceriakan persekitaran sekolah ialah sekolah akan kelihatan bersih dan cantik. Suasana sekolah yang bersih dan cantik ini akan dapat menyenangkan mata yang memandang. Seterusnya, perasaan pelajar dan guru akan menjadi lebih tenteram. Perasaan ibu bapa dan pelawat juga turut akan tenang dan gembira apabila datang ke sekolah.

Seiain itu, para pelajar juga dapat belajar dengan baik apabila persekitaran sekolah ceria khususnya di dalam kelas. Guru yang masuk mengajar pula akan dapat mengajar dengan baik dan lancar. Guru juga tidak perlu lagi menyuruh pelajar membersihkan kelas setiap kali masuk kelas sekaligus akan mengurangkan masa pengajaran. Pelajar pula dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajaran guru di hadapan kelas.

Persekitaran sekolah yang ceria juga dapat mengelakkan pelbagai jenis penyakit. Kebanyakan penyakit wujud kerana persekitaran yang kotor. Hal ini kerana persekitaran yang kotor boleh menyebabkan tikus dan nyamuk cepat membiak. Nyamuk yang membiak dengan banyak akan mendedahkan pelajar kepada penyakit bawaan nyamuk seperti demam denggi dan malaria.

Di samping itu, persekitaran sekolah yang ceria juga membolehkan pihak sekolah menerapkan nilai-nilai murni di kalangan pelajar. Penerapan nilai-nilai murni ini boleh diterapkan secara langsung dan secara tidak langsung. Antara nilai-nilai murni tersebut ialah nilai kebersihan, bekerjasama dan bertanggungjawab. Seiain itu, nilai murni mematuhi peraturan sekolah dan mencintai sekolah juga boleh diterapkan kepada pelajar.

Persekitaran sekolah yang ceria juga dapat menaikkan imej sekolah di kalangan ibu bapa dan masyarakat setempat. Persekitaran sekolah yang ceria menggambarkan sikap pengetua, guru-guru dan warga sekolah yang mementingkan kebersihan. Pegawai Pelajaran Daerah dan tetamu yang berkunjung pasti akan memuji sekolah berkenaan kerana ceria dan bersih. Jika ada pertandingan keceriaan sekolah, sekolah berkenaan juga mungkin akan mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut sekaligus menaikkan imej sekolah.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa kebaikan menceriakan persekitaran sekolah. Suasana sekolah yang ceria ini pasti dapat membantu pelajar sekolah berkenaan cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum. Pada pendapat saya, pihak sekolah boleh meminta bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam bentuk tenaga atau kewangan untuk menceriakan persekitaran sekolah. Sesungguhnya tanggungjawab menceriakan persekitaran sekolah adalah tanggungjawab bersama warga sekolah.
Back to Top