-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan STPM - Politik

Kemerdekaan negara perlu diisi dengan pelbagai pendekatan untuk mengekalkan kedaulatan. Kecemerlangan dalam pelbagai bidang merupakan salah satu cara untuk memastikan kedaulatan sesebuah negara terjamin. Bincangkan.

Mengekalkan kedaulatan dan kemerdekaan negara itu sebenarnya lebih sukar daripada memperolehnya. Kemerdekaan dan kedaulatan negara mesti terus dikekalkan demi generasi akan datang, dan pelbagai pendekatan perlu diambil untuk mengekalkannya.

Antara pendekatan yang perlu diambil untuk mengekalkan kedaulatan negara termasuklah memastikan setiap anggota masyarakat menguasai kecemerlangan dalam pelbagai bidang. Kecemerlangan ini termasuklah peningkatan pencapaian diri dalam apa jua bidang yang diceburi sehingga manfaat dapat dinikmati bersama. Manakala, bidang yang perlu dikuasai ialah bidang sains dan teknologi, matematik, pertahanan, komunikasi maklumat, dan sains aeroangkasa. Setiap anggota masyarakat perlu memanfaatkan masa muda mereka mendalami ilmu pengetahuan, supaya lahir lebih ramai cendekiawan Malaysia. Mereka mampu menyumbang idea kreatif dan inovatif ke arah pembangunan negara, di samping menghasilkan kepakaran dalam bidang teknologi tinggi. Penguasaan dalam pelbagai bidang ilmu akan melahirkan individu yang berkemahiran tinggi dan berfikiran strategik serta berupaya mengekalkan kedaulatan negara.

Selain itu, bagi mengekalkan kedaulatan negara setiap anggota masyarakat perlulah berdaya saing. Hal ini bermakna, rakyat perlu bersaing secara sihat untuk sama-sama membangunkan negara. Rakyat perlu memiliki semangat yang kental, tidak mudah berputus asa, dan sentiasa mencuba sesuatu yang baru.

Seterusnya, pendekatan lain termasuklah melahirkan pemimpin yang berkaliber. Pemimpin yang dipilih oleh rakyat menerusi demokrasi tulen haruslah memiliki ciri-ciri kepimpinan yang unggul. Pemimpin haruslah berupaya meneruskan kecemerlangan kepimpinan, mampu mentadbir negara setanding dengan pemimpin hebat di negara-negara maju, dan berupaya membawa negara ke arah kegemilangan. Pemimpin berkaliber juga harus memiliki ciri-ciri dalaman yang positif, jujur, ikhlas, dan berintegriti. Pemimpin seumpama ini bukan sahaja disanjung malah menjadi rujukan kepada pimpinan negara luar, sekaligus membentuk imej yang baik bagi negara dan masyarakatnya.

Kemudian, pendekatan seterusnya untuk mengekalkan kedaulatan negara adalah memastikan setiap anggota masyarakat mempunyai semangat patriotik dan sanggup berkorban untuk negara dan bangsa. Rakyat Malaysia harus dipupuk jiwanya supaya bangga menjadi rakyat Malaysia dan menyayangi negara. Setiap anggota masyarakat harus mengenali, menghormati raja, dan pemimpin negara kerana merekalah yang berusaha untuk mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara. Rakyat juga harus menghormati lambang-lambang kebesaran negara seperti bendera, lagu kebangsaan, dan jata negara. Bendera Malaysia, iaitu Jalur Gemilang harus dikibarkan dengan penuh semangat dan dihormati sebagai sesuatu yang suci. Kita juga perlu berdiri tegak semasa menyanyikan lagu Negaraku, menghayati liriknya dan menyanyikannya dengan penuh bersemangat. Kita juga harus menjaga serta mempertahankan maruah dan kemerdekaan negara.

Di samping itu, pendekatan yang harus dilaksanakan untuk mengekalkan kedaulatan adalah dengan membentuk dan menanam sifat integriti dalam diri. Hal ini bermakna, setiap anggota masyarakat harus melaksanakan tugasan dengan amanah dan bertanggungjawab tanpa mengira kaum dan keturunan. Setiap tanggungjawab yang diberi harus dilaksanakan tanpa ada penyelewengan, salah guna kuasa dan menjauhi rasuah di samping memiliki disiplin, dan akhlak yang terpuji. Dengan ciri-ciri terpuji ini negera lebih dihormati dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Kesimpulannya, kemerdekaan negara harus dipertahankan walaupun terpaksa berkorban harta dan nyawa. Oleh itu, pelbagai pihak harus sama-sama berganding bahu mempertahankan negara daripada segala unsur yang boleh mengganggu gugat kedaulatan negara tercinta.
Back to Top