-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan STPM - Sosial dan Budaya

Keluarga bahagia menjadi asas dalam pembangunan sesebuah negara yang sejahtera dan harmoni. Oleh itu, pelbagai langkah perlu diambil untuk mencapai hasrat tersebut. Jelaskan.

Institusi keluarga yang bahagia penting kepada pembangunan negara kerana keluarga bahagia menjamin kesinambungan generasi masa hadapan negara.

Keluarga bahagia menjadi kunci kepada pembangunan negara kerana dapat melahirkan modal insan yang berkualiti. Hal ini, menerusi kekukuhan ikatan kekeluargaan dapat melahirkan generasi berkualiti yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan dan kemajuan negara. Modal insan yang dilahirkan oleh keluarga bahagia turut menjadi pemimpin pelapis dan penyumbang tenaga dalam proses pembinaan negara yang maju. Oleh itu, jelaslah bahawa institusi keluarga yang bahagia mampu melahirkan modal insan berkualiti.

Selain itu, institusi keluarga bahagia juga dapat membendung masalah sosial, khususnya dalam kalangan remaja. Hal ini, sekiranya keluarga itu kucar-kacir, sering bertengkar, dan tiada lagi kasih sayang, sudah pasti akan melahirkan generasi yang bermasalah dan cenderung terlibat dengan masalah sosial. Namun begitu, keadaan sebaliknya akan berlaku jika sesebuah keluarga berjaya mengekalkan kebahagiaan dan keharmonian. Oleh itu, sesebuah keluarga pasti akan melahirkan generasi yang bertanggungjawab, memiliki sifat dan sikap yang terpuji, dan penuh kasih sayang kerana mendapat didikan serta mencontohi teladan yang baik daripada ibu bapa mereka.

Seterusnya, institusi keluarga yang bahagia juga dapat melahirkan pemimpin masa depan yang berkaliber. Ibu bapa akan memastikan anak- anak diberi pendidikan yang sempurna dan sebaik mungkin. Mereka sentiasa menerapkan nilai-nilai positif dalam diri anak-anak. Amalan yang baik ini akan diteruskan apabila mereka dewasa. Mereka akan memiliki sahsiah yang terpuji ditambah dengan ilmu pengetahuan yang dibekalkan
oleh ibu bapa mereka, menjadikan generasi ini sebagai bakal pemimpin yang berkaliber. Oleh itu, generasi ini akan meneruskan kepimpinan dengan memacu negara ke arah negara maju yang sejahtera.

Walau bagaimanapun, untuk memastikan usaha-usaha tersebut berjaya, langkah-langkah mewujudkan keluarga bahagia perlu dilaksanakan. Antaranya ialah ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memberikan pendidikan secukupnya kepada anak-anak. Hal ini bermaksud ibu bapa harus memberikan pendidikan terbaik bermula di peringkat rendah sehingga pendidikan tertinggi. Ibu bapa harus memastikan pencapaian cemerlang bukan sahaja dari segi akademik, malah dari segi sahsiah, emosi, dan kemahiran. Kemudian, pelajaran yang diperoleh ditambah pula dengan perhatian dan kasih sayang secukupnya. Hal ini, anak-anak akan terhindar daripada gejala sosial dan hubungan erat dalam keluarga akan menjamin perkembangan sihat anak-anak sehingga mereka dewasa kelak.

Selain itu, ibu bapa harus memastikan generasi muda dibekalkan dengan pendidikan agama yang kukuh. Pendidikan agama yang kukuh perlu disemai dalam diri anak-anak. Hal ini untuk memastikan anak-anak mempunyai pegangan agama kerana agama adalah benteng paling ampuh untuk menahan diri individu daripada terjebak dalam gejala negatif. Didikan dan penghayatan agama dapat melahirkan generasi yang mempunyai sahsiah yang baik. Oleh itu, mereka akan dapat membezakan perkara yang baik dengan yang buruk.

Kesimpulannya, institusi keluarga yang harmonis penting kepada pembangunan sesebuah negara dan langkah-langkah untuk membentuk keluarga bahagia perlu dilaksanakan oleh semua pihak, khususnya keluarga itu sendiri.
Back to Top