-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan SPM

Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.

            Anak-anak yang sihat serta memperlihatkan kecemerlangan diri merupakan idaman setiap ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa bertanggungjawab penuh untuk merealisasikan hal tersebut. Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anaknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Mereka perlu berusaha untuk merealisasikan impian itu dengan mengaplikasikan kemahiran keibubapaan ke tahap yang paling optimum. Jika hal ini dipraktikkan, harapan untuk memiliki anak-anak yang berguna akan dapat direalisasikan. Persoalannya,apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka tercapai?

            Usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna ialah mewujudkan suasana kekeluargaan yang saling berkasih sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang mereka. Ibu bapa boleh mencurahkan kasih sayang sama ada berbentuk luahan kata dan perbuatan yang secukup kepada anak-anak agar anak-anak berasa diri mereka diambil berat dan tidak diabaikan oleh ibu bapa. Misalnya, ibu bapa haruslah memberikan pujian kepada anak-anak sama ada dengan cara memberikan hadiah ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif apabila anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang. Hal ini penting kerana sepatah kata yang positif daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan memberikan dorongan serta motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan kerana pepatah menyatakan rajin dan usaha, tangga kejayaan.Kajian menunjukkan bahawa punca kebanyakan anak menjadi sampah masyarakat adalah kerana keadaan rumah tangga yang porak-peranda di samping sikap ibu bapa yang materialistik dan mementingkan kerjaya .Sebagai contohnya, banyak ibu bapa yang menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah sepenuhnya. Hal ini menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan diabaikan lalu melakukan perkara-perkara negatif. Tegasnya,anak-anak akan menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, dan negara jika keluarga yang saling berkasih sayang dan mengambil berat dapat diwujudkan.

            Selain itu,untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku” demi keselesaan anak-anak. Ibu bapa perlulah mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai supaya anak-anak berasa tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa perlulah mengelakkan pertelingkahan dan pertengkaran di hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengucapkan kata-kata yang lemah-lembut agar anak-anak mendengar segala arahan dan nasihat daripada ibu bapa. Bagi mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga, ibu bapa perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk ahli keluarganya seperti bilik tidur yang mencukupi, bilik untuk anak-anak belajar dan bilik untuk anak-anak menonton televisyen atau bermain komputer. Sudah terbukti bahawa anak-anak yang tinggal di kediaman yang kurang selesa cenderung untuk melepak dan sesetengahnya tidak pulang ke rumah. Amalan melepak ini mendedahkan anak-anak kepada pelbagai bentuk gejala negatif seperti merokok, menagih dadah dan sebagainya. Hal ini banyak berlaku di bandar-bandar besar, khususnya di kawasan-kawasan setinggan. Oleh hal yang demikian ,ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang selesa untuk anak-anak mereka sekiranya mereka menginginkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan menyayangi keluarganya.

            Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana pepatah menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah.. Didikan agama yang sempurna dapat membentuk akhlak dan pekerti mulia kepada anak-anak di samping membantu mereka mengetahui batas hidup yang betul. Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan  baik atau buruk sesuatu perkara dan anak-anak membesar dengan berpandukan ajaran agama. Sebagai contoh, jika keluarga tersebut berasal dari keluarga yang baik, kebiasaannya keturunannya akan baik kerana kalau asal benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau, dilontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.  Jika ibu bapa mempunyai pegangan dan didikan agama yang kuat, anak-anak mereka juga akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga, dan bagaimana acuan begitulah kuihnya. Dengan kesempurnaan didikan agama, anak-anak dapat mengawal diri daripada melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-foya dan sebagainya.Tegasnya, didikan agama yang sempurna dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk memiliki anak-anak yang berguna.

            Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa janganlah menjadi seperti “ketam mengajar anaknya berjalan betul”. Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh terbaik sedangkan mereka tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Gaya mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu “bapa borek anak rintik” sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak tanduk ibu bapa akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru tingkah laku dan percakapan ibu bapa. Anak-anak yang membesar di bawah didikan ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik akan menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab. Sebagai contohnya, jika anak-anak melihat ibu bapanya mendirikan solat dan mengamalkan sikap suka membaca, anak-anak sudah pasti akan mencontohi setiap perbuatan dan perlakuan ibu bapa mereka.  Oleh itu, ,ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelakkan penggunaan bahasa yang kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian kerana keperibadian ibu bapa menjadi penentu tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi contoh teladan yang baik agar anak-anaknya turut menjadi insan yang baik dan berguna.

            Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran daripada orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati terbuka. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan ingin membentuk anak mereka menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak mereka apabila orang lain memberi teguran. Hal ini demikian kerana teguran yang diberi itu bukanlah untuk memburuk-burukkan anak mereka tetapi untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh anak mereka. Dalam konteks ini, falsafah “menjaga tepi kain orang lain” dalam masyarakat  adalah untuk kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah menerimanya secara positif. Berdasarkan teguran yang diberikan, ibu bapa perlulah segera membetulkan kesilapan anak dan mencari punca anak mereka berbuat kesilapan sedemikian rupa agar anak mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama. Ibu bapa janganlah mudah melenting apabila terdapat jiran-jiran atau guru-guru memberitahu tentang perangai anak-anak kita kerana sebagai manusia yang bukan bersifat sempurna, kadang-kadang kita sendiri sebagai ibu bapa tidak pernah mengambil tahu kekurangan dan kelemahan anak-anak kita. Hal ini demikian kerana kita sibuk dengan urusan dan kerjaya masing-masing. Oleh itu, kita perlu menganggap setiap kritikan  yang diterima sebagai satu teguran yang membina. Jadi, untuk membentuk anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan teguran orang lain dengan hati yang terbuka. Peribahasa “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna” atau “sudah terhantuk baru terngadah” sewajarnya menjadi panduan kepada ibu bapa.

            Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Sikap prihatin dan ambil berat ibu bapa menyebabkan anak-anak berasa diri mereka diutamakan. Untuk tidak mengecewakan ibu bapa, anak-anak akan berusaha meningkatkan kecemerlangan sama ada dalam aspek kurikulum ataupun kokurikulum. Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah juga memberikan impak kepada tahap sahsiah anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan guru di sekolah sama ada guru disiplin, guru kelas atau guru mata pelajaran. Ibu bapa perlu sering berkunjung ke sekolah untuk mengikuti perkembangan kemajuan anak-anak dalam bidang pelajaran dan berbincang dengan guru disiplin sekolah berkaitan akhlak dan sikap anak-anak di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengawasi tingkah laku anak-anak di luar rumah serta mengenali rakan-rakan mereka. Ibu bapa juga perlulah bertanya kepada anak sebab-sebab anak-anak keluar rumah atau pulang lewat. Tuntasnya,ibu bapa perlu memantau perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak agar mereka jadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.

            Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk membentuk anak-anak menjadi insan yang berguna memerlukan pengorbanan dan kesabaran ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna bukanlah satu tugas yang mudah. Semua ini perlu dilakukan melalui proses pendidikan sedikit demi sedikit dan dengan penuh kesabaran. Oleh itu, perancangan yang teliti dan sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa secara istiqomah untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.Setiap ibu bapa juga mengharapkan anak mereka dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta mempertahankan maruah keluarga. Tegasnya, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka jadi sampah masyarakat yang bukan sahaja tidak memberikan sebarang sumbangan kepada masyarakat dan negara malah membawa masalah serta menjatuhkan keluarga kita.
Back to Top