-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3
Satu Peristiwa Yang Menggembirakan

Aku dilahirkan dalam keluarga yang berada. Ayahku seorang pengurus kilang manakala ibuku pula seorang pegawai kerani. Walaupun begitu ayahku sangat tegas daiam mendidikku dan amat mementingkan sikap berjimat cermat. Ibuku pula seorang yang lemah lembut, taat dan selalu mengikut apa jua keputusan ayah.

Peristiwa yang menggembirakan terjadi lebih kurang tiga tahun yang lalu. Aku sentiasa terkenangkan saat itu walaupun ia telah berlaku beberapa tahun yang lalu. Apatah lagi jika terpandang komputer dan telefon bimbit di hadapanku ini. Tidak dapat digambarkan betapa gembiranya hatiku apabila mendapat barang-barang yang telah lama aku idam- idamkan.

Aku masih ingat lagi, pada tahun itu aku akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Aku tergolong antara pelajar yang cemerlang di sekolahku. Oleh itu, aku sering mendapat perhatian daripada guru-guruku di sekolah kerana kecemerlanganku dalam pelajaran. Malah rakan-rakanku juga selalu meminta aku membantu mereka dalam pelajaran.

Aku begitu teringin mempunyai komputer peribadi sendiri kerana aku terpaksa berkongsi dengan rakan-rakanku setiap kali menggunakan komputer di sekolah. Lantas aku meminta ayah membelikan aku sebuah komputer untuk aku gunakan bagi mengulang kaji pelajaran dan membuat kerja sekolah. Malangnya ayah tidak mahu memenuhi permintaanku ini sebaliknya dia menghantar aku ke pusat tuisyen untuk belajar. Ayah menasihatiku agar belajar bersungguh-sungguh.

Walaupun kecewa dengan keputusan ayah, namun aku tidak membantah kerana belajar di pusat tuisyen juga banyak kebaikannya. Lantas aku memohon pada ayah agar membelikan aku sebuah telefon bimbit. Aku berpendapat dengan adanya telefon bimbit, dapatlah aku menghubungi rakan-rakanku dan bertanyakan hal-hal berkaitan pelajaran. Sesungguhnya, aku begitu ingin memiliki telefon bimbit seperti rakan-rakanku yang lain, namun sekali lagi keinginanku dihampakan oleh ayahku.

Sejak itu aku tidak lagi meminta apa-apa daripada ayah dan aku cuba untuk berfikiran positif. Aku berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai keputusan UPSR dengan cemerlang. Pada hari peperiksaan aku menjawab soalan yang diberi dengan sebaik mungkin. Aku meminta ayah dan ibu mendoakan kejayaanku.

Pada hari keputusan UPSR diumumkan, aku amat gembira kerana telah mendapat 5A dan terpilih menjadi pelajar cemerlang di sekolahku. Ayah dan ibuku turut gembira dan bangga dengan kejayaanku itu. Pada keesokan harinya, ayah dan ibu membawaku ke bandar. Kegembiraanku semakin bertambah apabila ayah dan ibu membelikan aku sebuah komputer peribadi dan telefon bimbit seperti yang kuidam-idamkan selama ini sebagai hadiah di atas kejayaan aku dalam peperiksaan UPSR.
Back to Top