-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan Keperihalan UPSR - Tugas Seorang Polis

Tiap-tiap hari polis terpaksa melaporkan diri di Balai Polis sebelum bertugas. Tugas seorang polis ialah menjaga keamanan masyarakat. Polis bertugas mengikut giliran. Kadang-kadang dia bekerja pada waktu siang. Kadang-kadang dia bekerja pada waktu malam. Polis menjalankan tugas dengan jujur dan penuh dedikasi.

Anggota-anggota polis sentiasa meronda-ronda di sana sini. Kalau berlakunya sesuatu perbuatan jenayah, mereka akan bertindak untuk menangkap sesiapa yang melakukan kesalahan. Dalam masyarakat kita hari ini perbuatan jenayah sering berlaku, seperti kecurian, rompakan, peras-ugut, pembunuhan dan sebagainya. Jadi tugas polis pun bertambah berat.

Semasa bertugas, nyawa polis sentiasa terancam. Ketika polis cuba menangkap perompak yang bersenjata api, maka berlakulah tembak-menembak yang hebat. Pernah terjadi peristiwa polis ditembak mati oleh perompak.

Tugas seorang polis memang mulia dan patut disanjung tinggi. Kita harus menghargai dan menghormati jasa polis.


Back to Top