-->

Type something and hit enter

Translate


On
Karangan PT3 - Punca-punca Berlakunya Gejala Sosial di kalangan Remaja

Sejak akhir-akhir ini,  isu  berkaitan  gejala sosial  saban  waktu  diuar-uarkan  dalam  media  arus perdana  di  negara  kita.  Sehubungan dengan itu,  semua pihak mestilah  komited  dan  beriltizam  untuk  menangani gejala ini  sehingga ke akar umbi sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah punca-punca gejala sosial di kalangan remaja?

Pada pendapat saya, antara sebabnya berlakunya gejala sosial ialah sikap remaja sendiri. Ramai di kalangan remaja tidak mempunyai didikan agama yang kuat. Disebabkan tiadanya didikan agama yang kuat, remaja hanya inginkan keseronokan tanpa memikirkan dosa atau kesan negatif atas perbuatan mereka. Kebanyakan remaja masa kini juga tidak mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian dan mereka tidak mempunyai cita-cita dan matalamat yang jelas dalam hidup mereka. Contohnya, para remaja sering membazir masa dengan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak, merempit, dan vandalisme. Tegasnya, sikap remaja sendiri yang acuh tak acuh telah menyebabkan berlakunya gejala sosial.

Selain itu, sikap ibu bapa juga turut menyumbang kepada berlakunya gejala sosial. Dalam era globalisasi ini, ibu bapa asyik sibuk dengan pekerjaan sendiri sahaja. Sikap ibu bapa yang mementingkan material telah mengabaikan kepentingan dan keperluan anak-anak yang berada di rumah. Sebagai contoh,  ibu bapa sibuk bekerja siang malam semata-mata untuk mengejar harta kekayaan. Pada hujung minggu, ibu bapa masih sibuk dengan kerjaya masing-masing dan ini menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi tegang. Lagipun, ibu bapa yang bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul juga menyebabkan anak-anak menghabiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah. Tegasnya, sikap ibu bapa adalah punca berlakunya gejala sosial.

Di samping itu, pengaruh rakan sebaya merupakan faktor yang mendorong berlakunya gejala sosial di kalangan remaja. Rakan sebaya sering kali menjadi tempat meluahkan perasaan kerana hubungan yang renggang dengan ibu bapa. Hal ini akan menyebabkan mereka mudah mengikut kata rakan sebaya mereka berbanding ibu bapa. Mereka juga sering terikut-ikut dengan trend dalam situasi kehidupan moden. Sekiranya mereka tidak mengikut aliran kelompok terbesar, mereka dianggap kolot dan tidak sukakan cabaran. Secara tidak langsung, mereka akan mengikut rakan mereka dan terjebak dalam gejala sosial. Jelaslah, pengaruh rakan sebaya menjadi penyebab remaja terlibat dengan gejala sosial.

Sejajar dengan itu, sikap masyarakat juga menjadi penyebab berlakunya gejala sosial. Anggota masyarakat tidak menunjukkan teladan yang baik dan mengamalkan sikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing, khususnya kepada golongan remaja. Jika terdapat golongan muda yang melakukan gejala sosial seperti merempit, vandalisme, dan gengsterisme. Masyarakat setempat tidak menegur sikap negatif tersebut. Anggota masyarakat setempat juga jarang memantau suasana tempat tinggal secara berterusan dan tidak memastikan gejala sosial yang berlaku segera diatasi. Jika masyarakat tidak mengambil berat tentang perlakuan para remaja, pasti para remaja terasa tidak dihargai dan terjebak gejala sosial.

media massa juga merupakan wahana yang efektif  berlakunya gejala sosial. Marcapada, media massa sering menyiarkan program hiburan yang melalaikan secara konsisten. Para remaja yang sering didedahkan kepada program tersebut secara tidak langsung akan meniru aksi-aksi yang terdapat dalam program tersebut dan seterusnya menyebarkannya kepada orang di sekelilingnya, bak kata pepatah sambil berdendang biduk ke hilir. Contohnya, filem-filem seperti ‘Tokyo Drift’ dan ‘Initial-D’ harus ditegah tayangannya. Media massa juga jarang menjemput pakar-pakar menghadiri rancangan khas untuk menjelaskan keburukan gejala sosial secara terperinci. Jelaslan, tidak harus dipandang enteng bahawa media massa adalah penyebab berlakunya gejala sosial.

Kesimpulannya,  terdapat beberapa sebab berlakunya gejala sosial di kalangan remaja. Semua pihak perlulah berusaha untuk menangani masalah gejala sosial supaya negara dapat melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Usaha  yang sistematik  dan  proaktif  mestilah  digerakkan  mulai  dari  sekarang  kerana  perjalanan  yang  beribu  batu, mestilah bermula dengan langkah yang pertama!

Back to Top