-->

Type something and hit enter

Translate


On
Karangan Cerpen – Tema Kegigihan

Di suatu kawasan terpencil di kaki bukit tinggallah Nasir bersama keluarganya. Rumah yang berdindingkan buluh, beratapkan rumbia kelihatan usang sekali. Keadaan rumahnya yang usang itu hampir sujud menyembah bumi. Di situlah Nasir, kedua-dua orang tuanya dan tiga adik-beradiknya yang masih kecil menetap. Pada awal pagi yang bening, tika fajar mula menyinsing di balik awan, kokokan ayam jantan yang memecah sunyi telah mengejutkannya daripada tidur. Nasir bangun seperti biasa dan melangkah lesu menuju ke perigi. Air perigi yang sejuknya hingga ke tulang sudah lali dengan tubuhnya. Di dapur ibu sedang menyiapkan sarapan pagi untuk keluarganya. Nasir menyarung baju sekolahnya yang sudah lusuh dimakan hari itu. Selepas bersarapan pagi, Nasir menggalas begnya untuk ke sekolah.

Nasir berjalan kaki menuju ke sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya. Dia berjalan pantas menyusuri denai kerana tidak mahu terlewat. Sebaik sahaja dia tiba di pagar sekolah, loceng telah pun berbunyi menandakan bermulanya waktu belajar. Nasir berlari menuju ke kelasnya. Seperti biasa dia memberi salam sebelum masuk ke kelasnya. Rakan-rakannya hanya memerhatikan Nasir yang temengah-mengah seperti dikejar hantu itu. Nasir sedar dirinya bukanlah pelajar yang pintar. Dia tekun berusaha. Di dalam kelas Nasir memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran yang diajar guru. Dia selalu bertanya guru jika ada perkara yang tidak difahaminya dalam pelajaran. Nasir juga membuat “study group" bersama rakan-rakannya pada waktu lapang. Jam tua di tangannya telah menunjukkan ke arah angka 11.

Waktu rehat telah bermula. Perut Nasir berbunyi minta diisi. Para pelajar berpusu-pusu menuju ke kantin. Keadaan agak bising seperti pasar di kantin. Para pelajar sibuk membeli makanan. Nasir duduk di atas kerusi yang disediakan. Dalam suasana yang hingar-bingar itu, Nasir membuka bekalan dibawanya dari rumah. Nasir memakan nasi kosong berlaukkan ikan kering sahaja. Jiwanya dirundung rasa pilu dan segan. Nasir tidak mahu memandang keadaan di sekelilingnya. Dia seolah-olah terasa seperti pelajar lain sedang mengejeknya. Setelah meneguk air suam segelas, Nasir beredar menuju ke kelas. Masa berjalan pantas. Loceng terakhir berbunyi sekali menandakan waktu pulang.

Nasir berjalan pulang ke rumah. Setelah sampai di rumah, Nasir terus membersihkan dirinya. Pakaian sekolahnya telah digantung dengan kemas. Setelah menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim, dia makan bersama-sama ibu dan adik-adiknya yang lain. Kemudian, Nasir mencapai buku mata pelajaran Fizik dan mengulang kaji pelajaran. Nasir menggunakan masa yang ada sepenuhnya. Pada sebelah petang nanti, dia membantu ibunya menjual kuih pula. "Eh, sudah pukul 5. Aku perlu menjual kuihlah", getus hatinya. Ibunya hanya tersenyum sambil menghulur bakul yang berisi pelbagai jenis kuih. Kuih ibunya disukai ramai. Setiap hari Nasir akan pulang dengan bakul yang kosong.

Hari demi hari berlalu. Kini sudah masuk bulan Oktober. Nasir telah melengkapkan dirinya dengan segala ilmu yang telah dipelajarinya. Pendek kata, persiapan terperinci sudah dibuat. Segala nota-nota penting sudah dihafal. Banyak latih tubi telah dibuat. Setiap hari sebelum menjelma tarikh peperiksaan SPM Nasir tidak jemu-jemu membaca. Dia tidak mahu ada kekurangan semasa menjawab soalan itu nanti. Tarikh peperiksaan telah pun menjelma. Selepas memohon restu kedua-dua orang tuanya, Nasir pergi ke sekolah. Nasir menjawab dengan tenang bagi setiap subjek yang diambilnya. Selepas tiga minggu, peperiksaan SPM pun tamat. Dalam masa itu, dia telah bersungguhsungguh menjawab soalan. Segala yang diajar cikgu dipraktikkan. Peperiksaan SPM amat penting bagi Nasir sebagai penentu kejayaannya untuk masa depan. Dialah harapan kedua-dua orang tuanya.

Keputusan akan dikeluarkan tidak lama lagi. Debaran makin terasa. Tarikh yang mendebarkan itu muncul juga akhirnya. Keputusan peperiksaan telah diumumkan dan dipaparkan di papan kenyataan. Nasir menguatkan semangat untuk melihat keputusannya. Jantungnya berdegup kencang. Dia meneliti satu persatu senarai nama. Apabila sampai gilirannya, Nasir mengucap kesyukuran. Nasir telah berjaya memperoleh 12 Al. Nasir menitiskan air mata kegembiraan. Dalam suasana riuh rendah itu, Nasir masih sempat melihat gelagat rakan-rakannya yang lain. Ada yang melompat kegembiraan. Tidak kurang juga yang bersedih. Nasir tersentak apabila ada seseorang menepuk bahunya. Cikgu Muhammad tersenyum. "Tahniah Nasir! " ucap Cikgu Muhammad. Nasir mendakap tubuh gurunya itu. Dia tidak lupa berterima kasih kepada gurunya itu. Segala usahanya tidak sia-sia. Dia juga tidak mengecewakan harapan kedua dua ibu bapanya.

Nasir mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Segala perbelanjaannya ditanggung oleh pihak kerajaan. Tujuh tahun telah berlalu. Hari yang penting dan bermakna dalam hidupnya menjelma. Hari konvokesyen berlangsung. Nasir telah membawa segulung ijazah yang menjadi kebanggaannya pulang ke tanah air. Segala pengorbanan ibu bapanya terbalas. Nasir telah menjawat sebagai seorang doktor di sebuah hospital milik kerajaan.

Back to Top