-->

Type something and hit enter

Translate


On

Bawang putih  atau Allium Sativum merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Alliaceae sama seperti lain-lain jenis bawang iaitu bawang besar, bawang merah, lik , dan kucai. Bawang putih dipercayai berasal dari tengah pergunungan Asia iaitu di Tajikstan, Turkmenia, Uzbekistan dan utara Iran, Afghanistan dan Pakistan.Ia dari tumbuhan liar yang kemudian dibuat pembiakbakaan tumbuhan sejak dulu kala.
Sejak lebih dari tujuh ribu tahun yang lalu, kebanyakan masyarakat yang wujud di dunia baik di Asia, Eropah mahupun di benua lain telah menggunakan bawang putih sebagai ramuan untuk tujuan masakan serta perubatan.
Adalah dipercayai bahawa tamadun terawal yang telah menyerap penggunaan bawang putih dalam diet pemakanan mereka ialah tamadun purba Mesir. Ia telah digunakan dengan meluas di Mesir untuk tujuan perubatan dan kesihatan.
Bawang Putih mengandungi komponen seperti Allicin dan komposisi nutrisi yang tinggi termasuk kalsium, pottasium, fosforus, selenium, manganese, zat besi serta 17 jenis asid amino yang bermanafaat bagi kesihatan. Antara lain manfaat Bawang Putih ialah:
#1. Mencegah Dari Keracunan Makanan
Bawang putih mengandungi ciri-ciri antibakteria, antimikrob dan juga antivirus. Sebagai agen antibakteria yang kuat, ia mampu untuk membunuh bakteria yang merbahaya kepada badan manusia seperti salmonella, staphyloccocus dan e coli. Oleh itu, pengambilan bawang putih dapat mencegah daripada terjadinya keracunan makanan.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sifat antibakteria yang wujud pada bawang putih telah dikaji dan diakui sendiri oleh saintis terkenal Louis Pasteur pada tahun 1858. Pada zaman Perang Dunia Pertama dan Kedua, bawang putih telah dijadikan bahan ganti (apabila bekalan penisilin tidak mencukupi) untuk merawat askar-askar yang mengalami kecederaan, di mana ia didapati mampu menyembuhkan luka serta menghalang daripada jangkitan kuman dan gangrene.
#2. Mengubat jangkitan kulat pada kulit
Bawang putih merupakan agen antikulat yang dapat melawan jangkitan kulat serta jangkitan yis. Bagi mereka yang mengalami jangkitan kulat seperti ringworm pada kulit, seriawan (thrush) atau athlete’s foot, anda boleh mencuba cara semulajadi untuk mengubati jangkitan tersebut iaitu dengan merendamkan kaki dalam besen yang mengandungi campuran air panas dan beberapa ulas bawang putih yang telah dilenyekkan.
#3. Mengubati jerawat
Sifat anti oksida dan antibakteria yang terdapat pada bawang putih dapat membantu menyelesaikan masalah kulit muka yang berjerawat. Ciri antibakteria yang ada pada bawang putih mampu mengecutkan dan menghilangkan jerawat secara perlahan-lahan. Ia juga dapat bertindak untuk mengurangkan parut jerawat.
Kalau ada di antara anda yang tidak puas hati dengan keberkesanan produk yang telah dibeli di pasaran, cubalah manfaatkan kelebihan yang ada pada bawang putih ini. Tumbuk dua atau tiga ulas bawang putih dan sapukan pada bahagian kulit muka yang bermasalah. Kemudian bilas dengan air suam.
Kehadiran komponen allicin yang berasaskan sulfur boleh meredakan keradangan jerawat malah bintik-bintik hitam dan pori-pori juga dapat dikurangkan. Dan kalau anda nak tahu, bawang putih
memang sudah lama digunakan dalam tradisi rawatan Ayurveda untuk kecantikan dan kesihatan kulit.
 #4. Menambahkan tenaga fizikal dan stamina
Di zaman purba Mesir, golongan hamba abdi dan buruh pada ketika itu yang bekerja keras dalam pembinaan piramid di Mesir telah diberi makan bawang putih, dengan tujuan untuk meningkatkan tenaga fizikal mereka. Pemakanan bawang putih untuk peningkatan stamina ini telah turut juga diamalkan di kalangan atlet-atlet dan golongan askar dalam tamadun Yunani.
#5. Mencegah serta menyembuhkan demam dan juga selesema
Kandungan antioksidan dalam bawang putih dapat merangsang sel-sel darah putih yang membantu meningkatkan sistem imunisasi badan dan mencegah daripada dijangkiti demam dan selsema.
Bagi mereka yang terkena demam atau selesema, boleh meningkatkan pengambilan bawang putih dengan mencampurkan 2 hingga 3 ulas bawang putih kedalaman makanan atau sup. elain dari meningkatkan dos bawang putih dalam pemakanan, anda boleh juga membuat sendiri minyak bawang putih untuk dijadikan ubat sapuan.
Caranya mudah sahaja – ambil beberapa ulas bawang putih yang belum dikupas kulitnya. Bakar atas dapur hingga kulit bawang putih itu kelihatan hampir hangus. Kemudian lenyekkan bawang putih yg sudah dibakar tadi dan masukkan ke dalam sebuah bekas yang mengandungi 3 atau 4 sudu minyak zaitun. Campurkan dengan sebati dan kemudian bolehlah disapukan pada bahagian dada, belakang badan serta tapak kaki.
#6. Melindungi jantung dan menurunkan kadar kolesterol serta tekanan darah
Bawang putih dapat mencegah dari serangan jantung dan penyakit atherosclerosis (masalah arteri mengeras). Semakin usia kita meningkat, arteri semakin sukar mengembang.
Menurut hasil kajian, kompoun diallyl trisulfat yang terhasil daripada allicin dapat bertindakbalas dengan sel darah merah untuk menghasilkan gas hidrogen sulfida yang dapat berfungsi untuk memperbesarkan pembuluh darah dan menurunkan tekanan darah di dalam badan, sekaligaus membantu mengekalkan kelancaran sistem kardiovaskular.
Kewujudan allicin yang bersifat sulfur didapati turut dapat memecahkan kolesterol yang boleh menyekat perjalanan darah dan mengurangkan pembentukan plak arteri. Ia mampu merendahkan tahap lipoprotein yang ‘jahat’ seperti LDL dan VDL di dalam darah dan mengekalkan tahap lipoprotein yang ‘baik’ contohnya HDL di dalam darah.
Kajian mendapati bahawa pengambilan hanya satu ulas bawang putih setiap hari berkesan untuk mengurangkan kadar kolesterol dalam badan seseorang sebanyak 10%-15%.
Keistimewaan bawang putih termasuklah juga memiliki ciri-ciri anti-gumpal yang boleh membantu mencegah terbentuknya darah beku dalam pembuluh darah.
#7. Mengurangkan risiko mendapat penyakit kanser
Pengambilan bawang putih yang konsisten setiap hari dapat mengurangkan risiko terkena penyakit kanser, terutamanya kanser perut, kanser kolon dan kanser prostate. Kandungan mineral bawang putih didapati memiliki ciri-ciri anti barah yang dapat menghambat pertumbuhan sel-sel kanser dalam badan.
Selain itu kompoun sulfur dalam allicin didapati bertindak sebagai detoxifier yang mampu membuang bahan-bahan toksin dalam hati dan memelihara sel-sel badan daripada kesan buruk toksin. Terkini, bawang putih juga sudah mula digunakan sebagai sebahagian dari rawatan untuk penyakit barah payudara serta pesakit HIV.
#8. Mengatasi masalah rambut gugur
stimewanya komponen bersifat sulfur allicin dalam bawang putih, ia didapati boleh membantu mengatasi masalah rambut gugur, tak kisahlah bagi kaum wanita mahupun kaum lelaki. Kalau anda tercari-cari penyelesaian yang mudah lagi murah untuk diamalkan bagi mengatasi masalah keguguran rambut, apa kata anda cuba amalkan petua ini.
Sebelum tidur, ambil beberapa ulas bawang putih dan lumatkan. Sapu dan gosok-gosokkan pada kulit kepala, terutama pada bahagian di mana rambut banyak gugur. Untuk meningkatkan lagi keberkesanannya, campurkan dengan sedikit minyak kelapa sebelum menyapu. Tapi jangan lupa pula untuk bilas dan syampu rambut keesokan harinya.
#9. Mengurangkan angin dalam badan
Sesetengah orang memang kerap mengalami masalah kemasukan angin dalam badan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kembung perut. Petua untuk melegakan masalah angin juga melibatkan penggunaan bawang putih.
Ambil dan bakar dua ulas bawang putih di atas dapur bersama dengan kulitnya sekali untuk beberapa minit. Setelah nampak garing, buang kulit dan makanlah bawang putih tersebut. Tak sampai setengah jam hasilnya akan dapat dirasai. Anda akan merasa lega dan tidak kembung perut lagi.
#10. Membantu mencegah stress, kemurungan dan rasa cemas
Serotonin merupakan suatu bahan kimia yang dihasilkan dalam badan dan ia amat penting dalam pengawalan emosi dan tingkah laku seseorang. Kadar serotonin yang tinggi di dalam otak manusia akan memberi kesan-kesan kestabilan emosi seperti perasaan tenang, mudah tidur dan dapat mengatasi perasaan murung.
Penyelidikan kumpulan saintis dari Perancis telah mendapati bahawa vitamin B-6 yang terkandung di dalam bawang putih dapat membantu meningkatkan dan melancarkan penghasilan dan pelepasan serotonin dalam badan.
#11. Merawat jangkitan ketuat @ kutil
Kutil atau ketuat boleh timbul di permukaan kulit disebabkan oleh jangkitan virus human papillomavirus (HPV) pada kulit manusia, di mana protein keras pada lapisan epidermis tumbuh dengan cepat. Bawang putih adalah penawar semulajadi yang mujarab untuk menghilangkan ketuat.
Caranya ambil satu atau dua ulas bawang putih, potong dan gosokkan ke bahagian kulit yang terkena ketuat, kemudian balut dengan kain pembalut. Lakukan secara konsisten sehingga ketuat hilang. Sifat sulfur pada bawang putih mampu untuk mengikis lapisan keras tersebut untuk menjadikan kulit kembali normal.
#12. Meredakan kesakitan gigi
Memang seksa kalau mengalami sakit gigi kan. Apatah lagi kalau kena menunggu dan tahan sakit dulu sebelum dapat berjumpa dengan doktor gigi. Untuk mengurangkan kesakitan gigi yang ditanggung, cubalah petua ini – ambil seulas bawang putih yang telah dikupas kulitnya dan gigit bawang putih mentah itu di bahagian gigi yang sakit. Adalah dipercayai bahawa ciri-ciri antibakteria dan analgesik yang terdapat pada bawang putih dapat membantu mengurangkan sakit gigi anda sementara menunggu untuk mendapatkan rawatan.
Sumber: http://mamalink.com.my
Back to Top