-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan SPM

Amalan menabung merupakan satu langkah berjimat cermat untuk masa depan. Namuny amalan ini masih tidak mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Terangkan langkah-langkah untuk menggalakkan amalan menabung dalam masyarakat kita.

Rangka Karangan

Pendahuluan
Menabung merupakan langkah yang wajar dilakukan dalam masyarakat sebagai langkat berjimat cermat demi masa depan.

Isi-isi penting
Langkah untuk menggalakkan amalan menabung dalam kalangan masyarakat:
1 Galakan daripada kerajaan dengan memberikan penerangan tentang kepentingan amalan ini.
2 Melancarkan kempen menabung.
3 Peranan ibu bapa.
4 Peranan pihak sekolah.
5 Peranan individu itu sendiri.

Penutup
Kerjasama daripada semua pihak diperlukan untuk menjayakan amalan ini.

Pepatah Melayu ada menyatakan “sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit”. Pepatah ini sebenamya membayangkan kepada kita betapa pentingnya amalan menabung sebagai langkah berjimat cermat dalam kehidupan kita. Menabung sebenamya lebih tertumpu kepada pengurusan perbelanjaan yang bijak dan tidak melakukan pembaziran sewenang-sewenangnya. Hal ini penting untuk keperluan masa hadapan, terutamanya bagi menghadapi saat-saat genting seperti untuk pembelajaran anak-anak dan sebagainya. Memandangkan menabung mendatangkan pelbagai faedah kepada semua golongan masyarakat, langkah-langkah tertentu perlu diambil untuk menggalakkan kegiatan ini dan seterusnya dijadikan amalan dalam masyarakat di negara ini.

Dalam hal ini, pihak kerajaan perlulah memainkan peranannya untuk menjayakan usaha ini. Kepentingan menabung dapat dilihat dari sudut ekonomi negara kerana hasil tabungan yang dilakukan oleh rakyat boleh membantu kerajaan agar wang tersebut tidak mengalir keluar. Hasil tabungan ini akan menjadi dana bagi negara dan seterusnya kerajaan tidak perlu mengharapkan
pertolongan Bank Dunia untuk memajukan ekonomi negara yang mengenakan kadar faedah yang tinggi semasa pembayaran balik. Selain itu, hasil tabungan ini sedikit sebanyak dapat membangunkan ekonomi negara. Hal inilah yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memberikan penerangan kepada rakyat supaya mereka dapat memahami maksud menabung sebagai satu cara pihak kerajaan membiayai pelaburan dalam negeri.

Langkah seterusnya adalah dengan melancarkan kempen menabung sebagai amalan berjimat cermat. Dalam masa yang sama, rakyat perlu dijelaskan bahawa menabung sebenamya dapat membantu individu, terutamanya ketika menghadapi kegawatan ekonomi. Rakyat juga perlu disedarkan supaya tidak leka dengan kemewahan dan perlu bijak mengatur perbelanjaan harian.

Selain itu, pihak swasta seperti bank perlu mengambil langkah yang bijak untuk menarik minat masyarakat bagi membantu kerajaan menjayakan kempen ini. Risalah-risalah dapat membantu rakyat memahami kelebihan menabung dengan lebih mendalam, yang bukan sahaja memberikan keuntungan kepada negara, bahkan kepada penabung sendiri. Langkah yang diambil oleh Bank Simpanan Nasional yang memberikan hadiah melalui cabutan-cabutan tertentu kepada penyimpannya merupakan satu langkah yang patut dipuji dan patut dijadikan contoh oleh bank lain. Skim insurans juga merupakan satu langkah ke arah menabung untuk masa depan, terutamanya bagi faedah kemungkinan kegunaan pada masa depan seperti pembelajaran anak-anak dan sebagainya.

Menabung bukan sahaja terhad kepada orang dewasa sahaja, tetapi juga perlu dipupuk semenjak zaman kanak-kanak lagi. Kata orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Penabung yang berjaya sebenamya bermula dari zaman kanak-kanak. Inilah yang dikatakan “sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit”. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang utama untuk memupuk minat dan menerangkan kepada anak-anak mereka betapa pentingnya amalan menabung . Ibu bapa boleh memupuk minat anak-anak dengan menghadiahkan tabung yang berbentuk permainan atau kesukaan anak-anak mereka. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengadakan dana peribadi anak-anak bagi tujuan melanjutkan pelajaran apabila mereka dewasa kelak.

Memupuk minat menabung juga perlu ditiupkan oleh guru kepada pelajar- pelajar, terutamanya semenjak di bangku sekolah rendah lagi. Golongan yang masih mentah ini juga perlu diberikan penerangan sebab mereka perlu berjimat cermat dan menabung. Pihak sekolah juga boleh bekerjasama dengan bank- bank tertentu seperti membuka kaunter menyimpan wang di sekolah untuk menarik minat pelajar menabung. Selain itu, pihak sekolah boleh mengadakan kempen sendiri untuk menggalakkan pelajar menabung seperti mengadakan pertandingan esei yang bertemakan kebaikan menabung.

Individu juga memainkan peranan yang penting untuk menggalakkan kegiatan menabung. Antara langkah yang perlu diambil oleh seseorang individu ialah jangan mudah terpengaruh dengan iklan mewah yang dipaparkan oleh media massa dan melatih diri agar membeli barangan mengikut keperluan sahaja dan tidak berbelanja mengikut nafsu. Mereka juga perlu menjauhi amalan berhutang dan berjudi, sebaliknya menyemai amalan menyimpan walaupun sedikit.

Kesimpulannya, amalan menyimpan atau menabung patut diamalkan oleh semua lapisan masyarakat kerana amalan ini bukan sahaja membawa keuntungan kepada penyimpannya, malahan memberikan faedah kepada pembangunan ekonomi negara. Oleh itu, amalan ini perlulah disokong dan mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak untuk menjayakannya.
Back to Top