Contoh Karangan SPM
Kebaikan Koperasi Sekolah
Setiap sekolah mempunyai koperasi yang tersendiri. Lazimnya, koperasi ini didaftarkan di bawah Akta Koperasi dan bernaung dengan Angkatan Koperasi Nasional (ANGKASA). Koperasi sekolah ini dikendalikan oleh Ahli Lembaga Pengarah yang terdiri daripada guru-guru dan diuruskan oleh pelajar sekolah. Satu organisasi yang terdiri daripada para pelajar dibentuk untuk membantu guru menguruskan koperasi sekolah ini. Penubuhan koperasi sekolah mendatangkan banyak faedah kepada warga sekolah. Persaolannya, apakah kebaikan koperasi sekolah?
Pada pandangan saya, penubuhan koperasi sekolah dapat membantu pelajar untuk memahami aspek perniagaan dengan mendalam. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar-pelajar yang menyertai koperasi sekolah berpeluang menjalani aktiviti-aktiviti berkaitan dengan urusan perniagaan. Sebagai contoh, guru yang bertugas akan mendedahkan pelajar dengan urusan perniagaan seperti cara menetapkan harga barang, menulis rekod penjualan barang, cara-cara membuat penyata kewangan, dan juga memahami konsep perakauan. Koperasi sekolah juga melatih pelajar bersikap jujur dan amanah semasa menjalankan sesuatu pekerjaan. Sebenarnya, penglibatan pelajar dalam koperasi adalah merupakan proses pembelajaran di luar bilik darjah. Perkara yang dipelajari di dalam kelas seperti subjek prinsip akaun dan matematik dapat diaplikasikan ketika pelajar-pelajar mencari pengalaman berniaga di koperasi sekolah. Pengalaman tersebut dapat membantu pelajar-pelajar yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan sebagai kerjaya pada masa hadapan. Hal ini bertepatan dengan pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tegasnya, pelajar-pelajar akan mendapat pengalaman berniaga dengan menyertai koperasi sekolah.
Selain itu, koperasi sekolah dapat menyediakan peralatan dan keperluan sekolah. Saya berpendapatan sedemikian kerana koperasi sekolah membekalkan peralatan seperti alat-alat tulis dan keperluan sekolah yang lain dapat diperoleh dengan mudah. Barangan yang ada di koperasi sekolah dijual dengan harga yang lebih murah berbanding dengan kedai alat tulis di pasaran. Sebagai tamsilan, alat tulis seperti pen , pensel, buku latihan, dan sebagainya lazimnya ditawarkan sepuluh peratus lebih murah daripada kedai alat tulis yang terdapat di luar kawasan sekolah. Secara logiknya, pelajar-pelajar hanya membuang masa sahaja jika mereka pergi ke pasar raya semata-mata kerana hendak membeli sebatang pen. Dengan adanya koperasi sekolah, pelajar-pelajar dapat memperoleh barangan keperluan sekolah dengan mudah. Secara tidak langsung, pelajar-pelajar tidak akan mensia-siakan masa dan tidak akan membazir wang. Pelajar-pelajar boleh memanfaat masa yang dijimatkan dengan aktiviti berfaedah seperti membaca dan beriadah. Wang yang dijimatkan boleh digunakan untuk membeli buku rujukan. Jelaslah, koperasi sekolah bukan sahaja memudahkan pelajar-pelajar membeli peralatan sekolah , malah dapat menjimatkan masa dan wang.
Di samping itu, penubuhan koperasi juga memberi faedah dengan menambah kewangan sekolah. Hal ini bermaksud, koperasi sekolah yang beroperasi dengan baik dapat menjana keuntungan yang dijangkakan. Lazimnya, keuntungan diperoleh pihak koperasi berpunca daripada pembelian murid-murid, guru-guru dan warga sekolah. Oleh yang demikian, sebahagian keuntungan akan diberi kepada pihak sekolah untuk mengukuhkan keduddukan kewangan pihak sekolah. Keuntungan koperasi sekolah dapat dimanfaatkan dengan membina kemudahan-kemudahan asas di dalam kawasan sekolah. Misalnya, keuntungan koperasi sekolah boleh digunakan untuk membina laluan berbumbung, membina pondok-pondok bacaan, dan menceriakan kawasan sekolah dengan menaja beberapa taman mini. Di samping itu, ada juga koperasi sekolah juga memberi sumbangan yang ikhlas kepada pihak sekolah. Contoh yang boleh diketengahkan ialah kemudahan pendingin hawa di dalam surau Aisyah Umairah Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) merupakan sumbangan ikhlas daripada koperasi sekolah tersebut. Saya optimis, dengan adanya koperasi, keuntungan yang didapati dapat memanfaatkan pihak sekolah.
Bukan itu sahaja, aktiviti koperasi sekolah juga dapat memupuk nilai murni dalam sanubari diri pelajar. Hal ini memang benar kerana sistem pelaburan yang diperkenalkan oleh koperasi sekolah dapat mendidik pelajar menabung. Pelajar-pelajar yang menyertai koperasi sekolah digalakkan berjimat cermat. Wang yang dijimatkan boleh digunakan untuk melabur. Walaupun pelajar menabung dalam jumlah yang sedikit tetapi akan menjadi banyak akhimya seperti kata pepatah sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Amalan menabung ini amat penting disemai dalam kalangan pelajar demi menjamin masa hadapan mereka. Dengan cara inilah, pelajar-pelajar berpeluang menjadi pemegang saham koperasi sekolah. Apa yang pasti, keuntungan koperasi sekolah akan dipulangkan dalam bentuk dividen dan bonus kepada pelajar yang membuat pelaburan. Sebagai contoh, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam telah berjaya membayar dividen tahun 2012 kepada ahli-ahlinya. Dividen yang diperoleh oleh pelajar boleh disimpan dalam bank untuk kegunaan masa hadapan. Bagaikan sudah terang lagi bersuluh, koperasi sekolah dapat memupuk nilai murni dalam diri pelajar.
Konklusinya, aktiviti koperasi sekolah memang banyak membawa manfaat kepada pelajar. Semua warga sekolah perlulah bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kebaikan yang diperoleh akan berterusan. Sekiranya semua pihak bekerjasama, nescaya impak positif penubuhan koperasi akan berkekalan dalam jangka masa yang lama. Ibu bapa seharusnya memberi galakan agar anak mereka menyertai aktiviti murni sebegini terutama ketika muda kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Negara amat memerlukan ahli perniagaan yang mahir dalam menguruskan urusan perniagaan pada masa depan. Usaha yang sistematik dan proaktif untuk menambah baik status koperasai mestilah digerakkan mulai dari sekarang kerana perjalanan yang beribu batu, mestilah bermula dengan langkah yang pertama!