-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan SPM

Ciri-Ciri Remaja Berwawasan


(TEMA) Dalam meniti arus globalisasi ini, generasi yang berwawasan merupakan pelapis dan peneraju kepada kemajuan dan pembangunan negara kerana ahli pujangga pernah berkata bahawa generasi berwawasan sebagai pemangkin pembangunan negara. Generasi berwawasan dapat ditafsirkan sebagai golongan muda yang mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadikan negara kita maju selaras dengan saranan yang terkandung dalam Wawasan 2020. (ISU) Dewasa ini, isu generasi berwawasan telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kita. Isu generasi berwawasan menjadi amat penting untuk diberikan perhatian dan tumpuan yang sewajarnya kerana mereka merupakan nadi negara. Oleh itu, usaha untuk melahirkan remaja yang berwawasan semakin diberikan keutamaan. (ARAHAN) Persoalannya, apakah ciri-ciri seseorang remaja yang dikategorikan mempunyai wawasan?

(ISI 1) Kecemerlangan dari segi akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk menelurkan remaja yang berwawasan. (MENGAPA) Intelek merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. Remaja yang mempunyai ilmu pengetahuan yang mencakupi semua bidang dapat membuat penilaian dan keputusan yang bijak dalam menghadapi kehidupan yang penuh dengan onak dan duri ini. (BAGAIMANA)Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu sains dan matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku , melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. (KESAN) Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka. Oleh itu remaja tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, “Ikut hati mati, ikut rasa binasa.” (PENEGAS) Tegasnya, remaja yang berwawasan sentiasa memastikan dirinya tidak jemu menimba ilmu untuk memiliki mentaliti kelas pertama.

(ISI) Selain itu, remaja yang berwawasan juga perlu sentiasa dinamik dan progresif dalam menjalankan sesuatu tugas. Dinamik dapat diertikan sebagai perubahan yang lebih baik daripada sebelumnya. (MENGAPA)Hal ini dikatakan demikian kerana negara yang pesat membangun seperti Malaysia memerlukan generasi yang memiliki ciri-ciri ini untuk mencapai kemajuan dalam setiap aspek. (BAGAIMANA) Individu yang dinamik tidak memiliki ciri-ciri negatif seperti berputus asa sebaliknya bersemangat tinggi. Dalam mengejar kejayaan, individu yang berwawasan seharusnya gigih menghadapi cabaran tanpa berputus asa kerana tiada kejayaan yang datang bergolek bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. (KESAN)Ekoran daripada itu, remaja yang dinamik dan progresif sudah pasti dapat mencapai cita-cita yang diimpikan. (PENEGAS) Pendek kata, remaja yang berwawasan sudah pasti akan memastikan dirinya berubah untuk memajukan diri dan negaranya.

(ISI) Dalam nada yang sama, remaja yang berwawasan perlu berkreatif dan berinovatif untuk memacu kegemilangan negara. (MENGAPA)Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baru dapat mengecap kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba akan menikmati buah kejayaan yang manis. (BAGAIMANA) Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan mat jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. (KESAN)Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi. Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan kita mampu menjejakkan kaki di angkasa lepas kelak. (PENEGAS) Sesungguhnya, pemikiran yang kreatif dan inovatif merupakan ciri remaja yang berwawasan.

(ISI) Jika kita telusuri dari dimensi yang berbeza, remaja yang berwawasan seharusnya cinta akan negara. (MENGAPA)Remaja yang berjiwa patriotik ini akan menjadi bakal pemimpin yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara. Sebagai bakal pemimpin negara sudah pasti mereka perlu sentiasa berusaha untuk memelihara imej negaranya daripada tercemar dan menjadi bahan cemuhan masyarakat luar. (BAGAIMANA) Oleh itu, mereka haruslah menghormati lagu kebangsaan negara iaitu lagu Negaraku dan mengamalkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara. Mereka tidak akan sekali-kali menjadi pengkhianat negara dan tidak akan melibatkan diri dalam gejala sosial yang akan mencemarkan imej negara. (KESAN) Jiwa patriotik remaja yang menebal ini akan menjamin keharmonian negara dan sekali gus berupaya menjaga maruah negara di pentas global. (PENEGAS)Ringkasnya, remaja yang berwawasan sentiasa bersemangat patriotik untuk mengekalkan keharmonian dan kedaulatan nusa tercintanya.

(PENUTUP) Sebagai intihanya, terdapat banyak ciri yang memaparkan seseorang remaja itu mempunyai wawasan yang tinggi. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita harus terlepas daripada belenggu angkara sosial. Generasi yang berwawasan menjadi akar pada pertumbuhan dan pembangunan modal insan yang menjadi agenda utama negara kita. (CADANGAN)Oleh itu, golongan remaja perlulah sentiasa bermuhasabah dan membaiki kelemahan diri sebelum terlewat bak kata pepatah, sesal di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Golongan remaja kita perlulah melakukan anjakan paradigma untuk menjadi remaja kelas pertama dan memangkinkan kecemerlangan negara. (HARAPAN)Diharapkan kelahiran remaja berwawasan dapat merealisasikan segala aspirasi negara di samping dan menyerbakkan keharuman negara kita di persada antarabangsa

Back to Top