-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan STPM - Tadbir Urus Negara

Dasar melaksanakan transformasi dalam perkihdmatan awam penting bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih berkualiti. Terdapat beberapa langkah yang dilaksanakan bagi mencapai matlamat dasar ini. Bincangkan.

Transformasi dalam perkhidmatan awam semakin giat dilaksanakan oleh kerajaan. Matlamatnya adalah untuk melonjakkan sektor awam Malaysia ke tahap yang lebih gemilang serta meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang kompetitif di peringkat antarabangsa.

Antara kepentingan transformasi dalam perkhidmatan awam adalah menyediakan perkhidmatan kerajaan yang berkualiti. Hal ini bermakna, transformasi yang dilaksanakan dapat menjamin perkhidmatan awam yang berkualiti, cekap, dan berkesan. Pelanggan tidak lagi berhadapan dengan masalah sistem yang rumit, tidak cekap, bertindih, dan berulang. Malah, dengan adanya Standard of Operation (SOP) yang jelas, sesuatu prosedur menjadi lebih mudah. Oleh itu, kerenah birokrasi dapat dikurangkan dan pelanggan akan berpuas hati kerana tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan.

Selain itu, transformasi dalam perkhidmatan awam berupaya membentuk sikap positif dalam kalangan kakitangan. Hal ini demikian kerana, dalam proses transformasi, kakitangan awam perlu bersedia sepenuhnya untuk mengubah minda dan cara bekerja kepada budaya kerja kelas pertama. Budaya kerja baru yang diterapkan dalam sektor awam mampu melonjakkan prestasi penyampaian perkhidmatan. Menerusi kemantapan kemahiran, sikap positif, dan sentiasa mengutamakan pelanggan, akan mengurangkan rungutan negatif orang awam. Oleh itu, jelaslah bahawa transformasi sikap penjawat awam menjamin keberkesanan sistem perkhidmatan awam.

Seterusnya, transformasi dalam perkhidmatan awam juga turut menjimatkan perbelanjaan kerajaan. Hal ini demikian kerana, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan, termasuklah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menyokong transformasi perkhidmatan awam. ICT merupakan penggerak utama ke arah memastikan penyampaian perkhidmatan dapat disampaikan kepada orang ramai pada bila-bila masa dan di mana-mana jua. Pembaharuan ini jelas dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan di samping penekanan terhadap konsep 'value of money’. Dalam hal ini, produktiviti dikaitkan dengan kecekapan masa dan wang. Oleh itu, transformasi dalam perkhidmatan awam penting dalam menjimatkan perbelanjaan kerajaan sekaligus mewujudkan perkhidmatan awam yang berkualiti.

Dalam usaha melaksanakan transformasi pelbagai inisiatif telah dilaksanakan. Antaranya, menyediakan kompetensi yang bersesuaian bagi penjawat awam. Misalnya, bahagian sumber manusia dipertanggungjawabkan untuk menyediakan latihan yang konsisten serta menyediakan modul latihan berasaskan teknologi terkini seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Manakala, setiap jabatan adalah digesa untuk menggiatkan program pertukaran anggota pekerja bagi mengelakkan budaya selesa, terseksa atau penyelewengan. Oleh itu, jelaslah bahawa transformasi yang dilaksanakan ke atas penjawat awam dapat meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Selain itu, usaha ke arah peningkatan kebajikan anggota pekerja juga perlu dilaksanakan. Usaha ini termasuklah menyemak insentif, elaun dan gaji. Peningkatan kos sara hidup hari ini perlu diberi perhatian. Kenaikan kadar gaji atau elaun, dan bonus perlu dilaksanakan agar dapat menampungkan kesulitan hidup para kakitangan awam. Perhatian sebegini akan menambah motivasi dan kesungguhan untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh di samping memupuk kesetiaan kakitangan awam untuk berkhidmat dengan pentadbiran kerajaan. Pada masa yang sama, pelbagai kemudahan perlu disediakan, misalnya memberi cuti bersalin selama tiga bulan untuk kakitangan awam wanita. Sektor awam juga perlu memberikan penghargaan istimewa seperti gelaran atau anugerah kepada kakitangan awam yang memberi sumbangan yang signifikan kepada peningkatan prestasi. Oleh itu, kebajikan anggota pekerja haruslah ditingkatkan agar dapat mewujudkan perkhidmatan yang lebih berkualiti.

Kesimpulannya, kejayaan agenda transformasi dalam perkhidmatan awam memerlukan suntikan semangat baru bagi melahirkan warga kakitangan awam yang bermotivasi tinggi dan sentiasa teruja untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Back to Top