-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan STPM - Integrasi dan Perpaduan

Meskipun banyak usaha telah dibuat untuk mewujudkan perpaduan kaum di negara ini, namun isu perpaduan sering tercabar.

Perpaduan merupakan aset terpenting Malaysia kerana tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati. Isu perpaduan yang sering tercabar menyebabkan perpecahan berlaku dalam kalangan rakyat.

Antara usaha yang telah dibuat untuk mewujudkan perpaduan kaum ialah melalui dasar pendidikan. Semua sekolah di Malaysia menggunakan sukatan pelajaran yang sama, kurikulum yang sama, peperiksaan yang seragam dan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan. Persamaan ini, mempercepat proses perpaduan dalam kalangan rakyat lagi. Konsep sekolah satu aliran di sekolah rendah dilihat sebagai reformasi pendidikan dalam menjayakan perpaduan.

Selain itu, perpaduan juga dapat dipupuk melalui kegiatan sukan. Semua kaum dapat melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang dijalankan. Pergaulan dan hubungan secara langsung dapat mengeratkan kerjasama serta menyemarakkan semangat perpaduan lagi. Sukan MSSM dan SUKMA mampu menyatukan rakyat pelbagai kaum melalui penglibatan atlet-atlet yang berbilang bangsa. Mereka dapat berkenalan antara satu sama lain dan dapat bertukar-tukar pendapat dan kemahiran dalam bidang sukan yang diceburi.

Perpaduan juga dapat dipupuk melalui konsep IMalaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita dengan membawa slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Matlamat IMalaysia adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan. Konsep penerimaan perbezaan dan mencari persamaan menjadikan jurang antara kaum semakin rapat dan erat. Hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum ini dapat memperkukuh perpaduan dan bertindak sebagai senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran.

Cabaran perpaduan pula ialah kewujudan sekolah jenis kebangsaan. Sekolah jenis kebangsaan menggunakan bahasa ibunda masing-masing dan kebanyakan sekolah jenis ini menempatkan pelajar-pelajar yang terdiri dari kaum yang sama dalam satu sekolah. Sistem pendidikan persekolahan yang berasingan mengikut kaum menjurus ke arah semangat perpaduan yang menebal. Malah, hal ini diperkuat dengan kecenderungan masyarakat Malaysia menduduki sesuatu kawasan berdasarkan kaum masing-masing.

Cabaran seterusnya ialah provokasi daripada media massa. Setiap kaum didapati lebih menggemari rancangan atau program televisyen dan radio yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Permintaan akhbar juga mengikut komposisi penduduk. Terdapat akhbar yang memainkan isu perkauman dengan membuat tuntutan yang jelas menyentuh dan mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu. Hal ini akan menyinggung perasaan orang Melayu dan Bumiputera yang merupakan penduduk asal dan majoriti penduduk.

Kesimpulannya, perpaduan amat penting dalam mewujudkan sebuah negara yang aman dan damai. Setiap masyarakat perlu bekerjasama untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan bertolak ansur antara satu sama lain.

Back to Top