-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan SPM

Kes pembuangan bayi sering menjadi tajuk utama dada akhbar tempatan saban hari. Peningkatan kes pembuangan bayi perlu dibendung sebelum menjadi ‘trend’ masyarakat untuk mencari penyelesaian mudah menyelesaikan masalah kelahiran anak tidak sah taraf terutama dalam kalangan remaja.
Pada pendapat anda apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk menangani masalah ini.

            Saban hari, terdapat pelbagai berita yang terpapar di dada-dada akhbar harian tentang jenayah pembuangan bayi. Kadar pembuangan bayi yang tidak berdosa kian meningkat. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita penemuan seorang mayat bayi yang dimasukkan ke dalam beg pakaian dan dibuang ke dalam perigi dan juga bayi yang baru lahir dicampakkan dari  tingkat dua di satu kawasan perumahan. Perkara yang menyedihkan kita jenayah ini melibatkan golongan remaja yang diharapkan akan  mencorak kegemilangan negara kelak. Persoalannya, di manakah letaknya sikap bertanggungjawab dan belas kasihan serta perikemanusiaan remaja yang berani membuang bayi mereka begitu sahaja. Remaja ini seharusnya mengikut akal fikiran yang waras dan bukannya bertindak mengikut hati dan hawa nafsu  serakah semata-mata, bak kata pepatah, ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’.

            Pelbagai strategi telah dijalankan oleh kerajaan dalam usaha membendung masalah ini. Namun,  masalah ini gagal diatasi. Dalam hal ini, ibu bapa adalah golongan yang paling hampir dengan remaja. Oleh itu ibu bapa perlu memainkan peranan yang besar dalam menangani masalah pembuangan bayi ini.   Ibu bapa perlu bijak membahagikan dan meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak. Ibu bapa perlu menyediakan ruang untuk bermesra dengan anak-anak serta memberikan kasih sayang secukupnya terutamanya anak-anak yang sedang meningkat remaja kerana anak remaja sebenarnya memerlukan perhatian dan layangan yang lebih daripada ibu bapa kerana mereka akan rasa lebih dihargai. Contohnya, ibu bapa perlu memperuntukkan masa untuk membawa anak-anak bersiar-siar pada hujung minggu atau melakukan aktiviti yang melibatkan ahli keluarga bersama-sama. Selain dapat mengeratkan hubungan antara anak-anak dengan ibu bapa aktiviti yang dilakukan ini dapat menghalang anak-anak daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah di luar pengetahuan ibu bapa.

            Dalam melayari kehidupan remaja yang penuh cabaran, remaja sering mencari model yang boleh dicontohi. Oleh itu, ibu bapa perlu menunjukkan contoh teladan yang positif kepada anak-anak.  Ibu bapa perlu menjadi model yang boleh diikuti dan dicontohi oleh anak-anak. Sebagai contoh, sekiranya Si ayah atau Si ibu mahu anak-anak mereka berakhlak mulia, tidak meninggalkan solat, maka sebagai orang tua, hendaklah melakukannya terlebih dahulu, seperti kata peribahasa, ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’. Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal, sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik, maka akan baik dan eloklah akhlak anak itu. Sekiranya hitam corak yang dilakar, maka akan hitamlah kehidupan anak-anak itu kelak. Mendidik anak biarlah dari kecil, bukannya bila dah menjadi buluh baru hendak dilentur, akan pecah dan patahlah buluh tersebut. Begitu juga dengan anak-anak, bila sudah besar amat sukar untuk dididik seandainya pada asasnya tidak dimulakan, bak kata pepatah Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ibu bapa berperanan besar memastikan anak-anak tergolong dalam golongan yang berakhlak mulia, lalu tidak sesekali akan melakukan maksiat yang menyebabkan kesudahan yang mengaibkan dalam menutup episod hitam yang berlaku. Mereka tidak akan sanggup untuk menconteng arang ke muka kedua- dua ibu bapa mereka kerana anak yang berakhlak akan sentiasa menjaga maruah diri mereka dan juga maruah keluarga.

            Di samping itu, ibu bapa juga perlu prihatin terhadap kehidupan sosial anak-anak. Sepertimana yang kita ketahui , rakan merupakan golongan kedua yang paling hampir dan rapat dengan remaja selain ibu dan bapa.Pepatah arab ada menyebut, sekiranya kita berkawan dengan penjual minyak wangi, nescaya kita  berbau harum, dan sekiranya kita berkawan dengan pembuat besi, kita juga turut terkena percikan apinya. Ibu bapa tidak seharusnya membiarkan anak-anak tidak kira lelaki atau perempuan mengamalkan pergaulan bebas. Ibu bapa seharusnya mengetahui dan memastikan dengan siapa anak mereka berkawan. Ibu bapa perlu menasihati dan memberi kesedaran kepada anak tentang batas-batas pergaulan antara lelaki dengan perempuan bagi mengelakkan berlakunya hubungan intim dan keterlanjuran yang secara tidak langsung menyumbang kepada berlakunya jenayah pembuangan bayi ini. Berkawan antara lelaki dengan perempuan tidak mengapa, asalkan tahu batas-batas pergaulan. Jangan sampai mendorong melakukan maksiat, melakukan zina seterusnya mengandung anak luar nikah. Akhirnya, untuk menutup malu, lalu remaja yang terlibat sanggup membuang bayi yang tidak bersalah di masjid, di depan rumah atau dibuang ke dalam sungai.  Ibu bapa perlu menasihati anak-anak agar berkawan dengan kawan yang mempunyai akhlak yang baik, berwawasan dan mendorong melakukan aktiviti yang berfaedah. Kawan yang baik dan berakhlak akan mengelakkan diri daripada menghampiri maksiat dan kejahatan. Mereka akan sentiasa menjaga adab pergaulan.

            Agama teras kehidupan dan merupakan panduan kepada setiap penganutnya. Oleh itu, ibu bapa perlu memberi didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak. Didikan agama merupakan benteng yang ampuh untuk untuk mengelakkan golongan  remaja terjebak dalam kancah maksiat. Mereka akan dapat membezakan antara baik dan buruk, halal dan haramnya tindakan serta perlakuan yang akan dilakukan. Anak-anak akan mempunyai jati diri yang utuh bagi melawan serangan-serangan  pemikiran dan budaya negatif. Oleh itu, ibu bapa perlu menghantar anak-anak mendalami bidang agama seawal usia tujuh tahun. Apabila pegangan agama menguasai diri, seseorang itu akan berfikir berulang kali sebelum melakukan sesuatu yang menyalahi ajaran agama. Namun, ibu bapa kini lebih  cenderung untuk menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas-kelas yang mengajar anak-anak ilmu keduniaan berbanding dengan program-program kerohanian dengan alasan unsur-unsur kerohanian tidak memberi sumbangan yang besar  kepada perkembangan dan kemajuan seseorang. Didikan agama yang kurang akan menipiskan tahap keimanan seseorang. Akibatnya mereka tidak takut untuk membuat dosa dengan beranggapan  perbuatan tersebut tidak mendapat balasan Alllah SWT pada masa itu juga. Remaja yang nipis imannya tidak dapat bertindak secara rasional dan lebih suka bertindak mengikut emosi untuk mengatasi sesuatu masalah. Lantaran itu, bagi remaja yang melahirkan anak tidak sah taraf ini, mereka sanggup membuang bayi mereka kerana bertindak mengikut emosi dan tidak memikirkan bahawa perbuatan mereka ini akan menambahkan lagi dosa yang sedia ada. Seandainya anak yang dibuang itu masih hidup dan ditemui oleh orang lain, akan selamatlah anak tersebut, tetapi seandainya bayi itu mati, jadilah dia seorang pembunuh.

            Seterusnya langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk menangani masalah pembuangan bayi ini adalah mengubah tanggapan dan persepsi mereka terhadap anak-anak. Jangan memberikan kebebasan yang keterlaluan kepada anak-anak.  Ibu bapa perlu membuat ketetapan dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh anak-anak terutamanya kepada anak-anak perempuan kerana gejala pembuangan bayi ini lebih melibatkan golongan remaja perempuan. Tetapkanlah peraturan, anak-anak perempuan tidak dibenarkan keluar malam atau pulang lewat malam. Selain itu, ibu bapa perlu menegur anak-akan perempuan agar tidak memakai pakaian yang terlalu mencolok mata sehingga menimbulkan keghairahan orang lain untuk menghampiri mereka dan melakukan sesuatu yang tidak baik kepada mereka. Keadaan ini bukan hanya berlaku di luar rumah, malahan mungkin akan berlaku di dalam rumah sendiri yang boleh menyebabkan berlakunya sumbang mahram yang akhirnya melahirkan zuriat. Ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak  jika  sekiranya ada sesuatu yang meragukan. Sebab pernah terjadi, anak yang masih bersekolah mengandung tanpa disedari oleh ibu bapa disebabkan kurang berkomunikasi dengan anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga jangan terlalu mengongkong anak-anak. Sekiranya mereka berpeluang hidup berjauhan dengan keluarga, mereka akan melakukan apa-apa sahaja yang terlintas difikiran mereka tanpa berfikir panjang. Anak-anak akan berubah sikap seperti membujur lalu melintang patah dengan bertindak liar tanpa pengawasan ibu bapa. Hal ini berlaku terutamanya bagi anak-anak gadis yang berpeluang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi kerana beranggapan mereka bebas melakukan apa-apa sahaja. Jangan sampai, ‘sudah terhantuk baru terngadah’ dan ‘nasi sudah menjadi bubur’. Sesungguhnya, ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’.

            Intihanya, gejala pembuangan bayi yang serius tiada penghujung sekiranya tidak ada kesedaran dalam kalangan masyarakat sarwajagat untuk mengubah sikap kerana untuk menangani masalah pembuangan bayi ini bukan hanya menjadi tanggunggjawab ibu bapa sahaja tetapi memerlukan kerjasama semua pihak. Langkah-langkah yang diambil sewajarnya akan menjadi anjakan paradigma dalam kehidupan agar setiap remaja yang terdedah kepada gejala negatif ini perlu mempunyai semangat yang kuat untuk menghadapi cabaran. Gejala tersebut merupakan satu kesalahan yang amat kejam. Sedangkan haiwan pun tidak berlaku kejam kepada anaknya. Anak itu satu anugerah daripada Tuhan. Oleh itu, kita mesti menghargainya dengan baik dan penuh kasih sayang. Sesungguhnya masih ada ruang untuk ibu-ibu muda yang mengandung anak luar nikah ini mencari jalan pulang, bak kata pepatah Melayu, ‘sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan’.  Walaupun di depan jalan amat berliku, namun remaja yang terlibat perlu menguak halangan untuk mencari sinar kehidupan.
Back to Top