Petua Menulis Karangan UPSR
- Baca tajuk karangan dengan teliti. Pastikan kamu memahami maksud atau kehendak tajuk karangan.
- Jangan terus menulis karangan kamu itu. Catatkan isi-isi penting atau rangka karangan dalam sehelai kertas terlebih dahulu.
- Tulis karangan kamu dengan berpandukan isi-isi penting. Karangan kamu hendaklah mengandungi bahagian permulaan, bahagian isi dan bahagian penutup. Setiap isi ditulis dalam satu perenggan.
- Rancangkan masa kamu. Gunakan lebih kurang 20-25 minit untuk karangan pertama, iaitu karangan bentuk berpandu. Untuk karangan kedua pula, lebih kurang 30-35 minit diperlukan. Ini kerana karangan ini berbentuk bebas.
- Gunakan ayat-ayat yang mudah dan jelas maksudnya. Perkataan- perkataan yang digunakan hendaklah jelas dan tepat. Imbuhan-imbuhan hendaklah digunakan dengan betul.
- Pastikan ejaan perkataan-perkataan atau tanda-tanda bacaan digunakan dengan betul. Markah akan dipotong sekiranya kamu melakukan kesalahan dalam kedua-dua perkara tersebut.
- Karangan kamu janganlah terlalu panjang atau terlalu pendek. Karangan yang terlalu panjang pasti mengandungi banyak kesalahan tatabahasa, manakala karangan yang terlalu pendek pula akan kekurangan isi.
- Setelah selesai menulis karangan, semak semula karangan itu untuk memastikan bahawa tiada perkataan-perkataan atau ayat-ayat yang tertinggal, kesalahan dalam ejaan dan penggunaan tanda-tanda bacaan.
- Tulisan kamu hendaklah jelas dan mudah dibaca.