-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3

Isu Disiplin Pelajar di Sekolah

Isu-isu tentang disiplin pelajar kerap diperkatakan dalam surat khabar dan televisyen. Isu disiplin pelajar ini kerap diperkatakan kerana masalah disiplin pelajar didapati telah meningkat dari semasa ke semasa. Pada pendapat saya, masalah disiplin pelajar tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh mendatangkan pelbagai masalah. Terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar di sekolah.

Antara kesalahan yang selalu dilakukan oleh pelajar di sekolah ialah ponteng kelas. Pelajar yang selalu ponteng kelas ini adalah pelajar yang tidak berminat untuk belajar. Pelajar ini datang ke sekolah kerana takut dimarahi ibu bapa mereka. Oleh itu, biasanya pelajar-pelajar ini akan menyorok di tempat yang tertentu seperti tandas, stor dan kelas yang kosong sewaktu pembelajaran dijalankan.

Selain itu, perbuatan vandalisme pula sering dilakukan oleh pelajar yang bermasalah. Vandalisme ialah perbuatan merosakkan harta benda awam termasuklah harta benda sekolah. Antara harta benda sekolah yang selalu menjadi mangsa vandalisme ialah alatan dalam tandas dan alatan dalam kelas. Perbuatan vandalisme sebilangan pelajar akan menyusahkan ramai pihak, termasuk pelajar, guru dan kakitangan sekolah.

Pergaduhan juga merupakan salah satu jenis kesalahan yang selalu dilakukan oleh pelajar. Pelajar yang selalu terlibat dalam pergaduhan adalah pelajar yang mempunyai tahap disiplin yang rendah. Kebanyakan kes pergaduhan berlaku adalah disebabkan perbuatan mengejek atau kes kehilangan barang milik pelajar. Masalah pergaduhan ini boleh membawa kepada kecederaan yang serius atau kematian, perbuatan ini perlu dielakkan.

Di samping itu, perbuatan merokok dalam kawasan sekolah juga merupakan kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar. Kawasan yang sering menjadi tempat pelajar merokok ialah di dalam tandas atau di tempat yang tersembunyi. Sesungguhnya, perbuatan merokok di kalangan pelajar merupakan satu kesalahan yang besar dan ia perlu dibanteras dengan segera. Jika pelajar didapati bersalah maka pelajar terbabit boieh digantung atau dibuang sekolah.

Perbuatan ponteng sekolah juga merupakan kesalahan yang selalu dilakukan oleh pelajar. Antara sebab pelajar ponteng sekolah ialah kerana perasaan malas dan tidak ada motivasi untuk datang ke sekolah. Terdapat juga pelajar ponteng sekolah kerana takut dimarahi guru sebab tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi. Selain itu, sikap ibu bapa yang kurang mengambil berat tentang pelajaran anak-anak boleh juga mendorong kepada perbuatan ponteng sekolah.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar di sekolah. Oleh itu, pihak sekolah mestilah berusaha untuk mengatasi masalah disiplin yang sering berlaku di kalangan pelajar. Pada pendapat saya, pelajar mesti diberi kesedaran tentang matlamat mereka datang ke sekolah dan nilai-nilai murni yang patut dipupuk dalam diri pelajar. Dengan kerjasama daripada pelbagai pihak, saya pasti masalah disiplin pelajar dapat diatasi dengan baik.

Back to Top