-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3
Kebaikan Koperasi Sekolah

Pada masa kini hampir semua sekolah mempunyai koperasi. Koperasi sekolah ini lazimnya dipimpin oleh beberapa orang guru penasihat. Para pelajar diberi peluang untuk menjadi ahli koperasi melalui pembelian saham yang dikeluarkan oleh koperasi. Sebenarnya
terdapat beberapa kebaikan koperasi yang ditubuhkan di sekolah.

Kebaikan koperasi sekolah yang pertama ialah memudahkan pelajar membeli bahan peralatan persekolahan dengan harga yang berpatutan. Dengan adanya koperasi sekolah, para pelajar tidak perlu lagi pergi ke kedai yang mungkin jauh dari rumah untuk membeli peralatan sekolah. Antara keperluan persekolahan yang terdapat di koperasi sekolah ialah buku latihan, baju T dan alat tulis. Sebahagian koperasi sekolah juga turut menawarkan perkhidmatan fotokopi bagi kegunaan pelajar.

Selain itu, koperasi sekolah juga dapat memberikan pengetahuan asas kepada pelajar tentang satu bentuk perniagaan runcit. Pelajar yang paling banyak mendapat pengetahuan ialah pelajar yang bertugas di koperasi sekolah. Antara jenis pengetahuan yang diperolehi iaIah pengetahuan tentang pengurusan kewangan dan pembelian alatan persekolahan. Pengetahuan ini penting kepada pelajar apabila mereka ingin membuka perniagaan satu masa nanti.

Kebaikan seterusnya koperasi sekolah ialah pelajar akan mendapat pengalaman. Pelajar yang paling banyak mendapat pengalaman ialah pelajar yang bertugas di koperasi sekolah. Pelajar-pelajar dapat pengalaman bagaimana melayan kerenah pelanggan dan cara yang betul untuk mengendalikan sesebuah perniagaan runcit. Sesungguhnya, pengalaman sebegini juga amat berguna kepada pelajar jika mereka ingin membuka perniagaan selepas tamat persekolahan kelak.

Di samping itu, koperasi yang wujud di sekolah juga dapat memberikan keuntungan kewangan. Pelajar yang membeli saham koperasi akan mendapat keuntungan apabila koperasi mencatat keuntungan. Keuntungan koperasi diperolehi menerusi barang-barang yang dijual kepada pelajar-pelajar di koperasi. Terdapat juga koperasi yang memberikan sebahagian keuntungan untuk menjayakan projek-projek sekolah seperti projek menceriakan sekolah.

Kewujudan koperasi sekolah juga dapat memupuk nilai-nilai murni di kalangan pelajar. Nilai-nilai murni ini dapat dipupuk secara langsung dan secara tidak langsung. Antara nilai- nilai murni tersebut ialah nilai bersih, cekap dan amanah. Nilai-nilai murni ini jelas dapat dipupuk di kalangan pelajar yang bertugas di koperasi sekolah.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa kebaikan koperasi sekolah. Justeru, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan kepada koperasi sekolah dengan membeli semua peralatan persekolahan anak-anak di koperasi sekolah. Pada pendapat saya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga harus memberikan sokongan terhadap koperasi sekolah. Dengan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak, saya pasti koperasi sekolah dapat mencapai objektif penubuhannya.

Back to Top