-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3

Kebaikan Membaca

Isu-isu yang berkaitan dengan tabiat membaca kerap dibincangkan dalam televisyen dan surat khabar. Hal ini kerana tabiat membaca di kalangan masyarakat masih lagi rendah. Pada pendapat saya, isu tabiat membaca ini tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan. Sebenarnya terdapat beberapa kebaikan jika kita mengamalkan tabiat membaca.

Antara kebaikan membaca ialah kita dapat menambahkan pengetahuan. Bahan-bahan yang boleh kita baca untuk menambahkan pengetahuan ialah buku, majalah dan surat khabar. Pengetahuan yang kita perolehi daripada pembacaan boleh digunakan untuk menjalani kehidupan seharian. Sebagai contoh, pengetahuan kita tentang pemakanan seimbang membolehkan kita mengamalkan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat agar tubuh kita akan menjadi sihat.

Selain itu, membaca juga membolehkan kita mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Setiap orang memiliki masa lapang pada setiap hari. Jika kita tidak menggunakan masa lapang yang kita miliki dengan baik, kita akan rugi. Oleh itu, ibu bapa perlu mendorong anak untuk membaca apabila ada masa lapang dan sebaik-baiknya ibu bapa membaca bersama anak-anak.

Kebaikan lain aktiviti membaca ialah dapat mencerdaskan minda kita. Melalui pembacaan, minda akan memproses maklumat yang dibaca dan kita akan dapat mengingat apa yang dibaca dalam jangka masa yang lama. Rangsangan pada minda ini juga akan mencerdaskan minda kita. Minda yang cerdas akan dapat mengeluarkan idea-idea baru dan dapat berfikir dengan lebih kreatif dan kritis.

Di samping itu, dengan membaca juga membolehkan seseorang pelajar lulus dalam peperiksaan dengan cemerlang. Terdapat beberapa mata pelajaran yang memerlukan pelajar banyak membaca seperti mata pelajaran Sejarah, Geografi dan Bahasa Malaysia. Dengan banyak membaca, pelajar akan dapat mengingati dan memahami sesuatu topik atau tajuk dengan baik. Pelajar yang lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

Kebaikan membaca seterusnya ialah kita dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Nilai-nilai murni ini terpupuk dalam diri secara langsung atau secara tidak langsung. Antara nilai-nilai murni yang akan terpupuk dalam diri ialah nilai menghargai masa dan kerajinan. Sikap rajin membaca ini juga akan menjadi contoh kepada orang lain dan secara tidak langsung dapat merangsang orang lain untuk turut sama mengamalkan budaya membaca.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa kebaikan yang akan kita perolehi daripada sikap rajin membaca. Sesungguhnya, orang yang rajin membaca bukan sahaja akan menjadi orang yang pandai tetapi juga akan mendapat pekerjaan yang baik. Pada pendapat saya, pihak kerajaan wajar mengadakan kempen membaca dengan lebih agresif lagi bagi menggalakkan lebih ramai rakyat membaca. Rakyat yang rajin membaca pasti akan dapat membantu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan terbilang.
Back to Top