-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3

Kepentingan Semangat Patriotisme

Negara Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sama ada kita sedar atau tidak isu-isu yang berkaitan dengan semangat patriotisme kerap menjadi bahan perbincangan yang hangat di media massa setiap kali menjelangnya hari kemerdekaan negara. Pada pandangan saya, isu semangat patriotisme ini memang wajar dibincangkan dalam media massa. Hal ini kerana terdapat beberapa kepentingan semangat patriotisme yang perlu diketahui oleh rakyat Malaysia.

Antara kepentingan semangat patriotisme ialah ia menanamkan semangat cinta akan negara. Semangat cinta akan negara ini akan menjadikan kita lebih sayang kepada negara. Oleh itu, kita akan menjaga keamanan negara dan taat setia kepada pemerintah. Kita juga akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan negara jika diserang oleh negara lain.

Selain itu, kepentingan semangat patriotisme ialah kita akan dapat menghargai jasa pemimpin negara. Sesungguhnya, pada zaman dahulu ramai pemimpin negara telah berkorban harta dan nyawa untuk mempertahankan negara daripada dijajah oieh negara luar seperti Inggeris. Terdapat juga pemimpin yang telah berjuang bersungguh-sungguh untuk memerdekakan negara daripada kuasa Inggeris seperti Tunku Abdul Rahman. Selepas negara kita merdeka pula, terdapat ramai pemimpin yang telah memajukan negara seperti Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kepentingan semangat patriotisme seterusnya ialah memberi kesedaran kepada golongan muda supaya belajar bersungguh-sungguh untuk memajukan negara. Malaysia bercita-cita untuk menjadi negara maju pada tahun 2020. Oleh itu, jika Malaysia mahu menjadi negara maju, maka rakyat Malaysia mestilah mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi. Justeru, dengan semangat patriotisme, generasi muda akan bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk belajar khususnya mempelajari ilmu sains dan teknologi demi memajukan negara.

Di samping itu, semangat patriotisme juga boleh mendorong kita untuk mengamalkan nilai- nilai murni dalam kehidupan seharian. Amalan nilai-nilai murni ini penting dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan agama. Antara nilai-nilai murni yang perlu diamalkan ialah nilai toleransi, hormat-menghormati dan bekerjasama. Amalan nilai-nilai murni ini akan membolehkan rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan damai.

Kepentingan semangat patriotisme yang lain ialah rakyat akan dapat mempertahankan kemerdekaan negara. Kemerdekaan negara yang kita miliki sekarang perlu dijaga dan dipelihara. Negara akan terjajah lagi jika rakyat Malaysia hidup dalam keadaan tidak tenteram dan sering bergaduh antara satu sama lain. Oleh itu, setiap rakyat mestilah mementingkan negara daripada kepentingan diri sendiri atau kaum.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa kepentingan semangat patriotisme. Semangat patriotisme ini perlu dipupuk sejak kecil lagi. Pada pendapat saya, pihak sekolah boleh memainkan peranan yang utama dalam memupuk semangat patriotisme di kalangan generasi muda. Dengan semangat patriotisme yang tinggi, maka sudah pasti negara Malaysia akan terus aman dan tidak akan terjajah lagi.

Back to Top