-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3

Cara-cara Memupuk Semangat Patriotisme

Isu-isu yang berkaitan dengan semangat patriotisme kerap diperkatakan dalam media massa. Isu ini semakin kerap diperkatakan setiap kali menjelangnya ulang tahun kemerdekaan negara. Pada pandangan saya, isu semangat patriotisme ini memang wajar diperkatakan kerana ia sangat penting kepada negara. Terdapat beberapa cara boleh dilakukan untuk memupuk semangat patriotisme.

Pihak kerajaan boleh memainkan peranan penting dalam memupuk semangat patriotisme. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai sumber kewangan bagi melaksanakan pelbagai program kesedaran bagi memupuk semangat patriotisme. Contohnya, pihak kerajaan telah mengadakan Program Sambutan Bulan Kemerdekaan pada setiap tahun dan program ini mesti diteruskan kerana ia dapat memupuk semangat patriotisme. Selain itu, pihak kerajaan juga perlu mengadakan kempen kesedaran tentang semangat patriotisme melalui stesen televisyen dan radio milik kerajaan.

Selain itu, pihak sekolah juga boleh memainkan peranan dalam memupuk semangat patriotisme. Pihak sekolah juga boleh mengadakan Sambutan Bulan Kemerdekaan di peringkat sekolah. Pada sambutan ini, pihak sekolah boleh mengadakan pelbagai program seperti pertandingan nyanyian lagu patriotik. Pihak sekolah juga boleh mengadakan program kibarkan Jalur Gemilang di sekeliling sekolah.

Keluarga juga boleh memainkan peranan dalam memupuk semangat patriotisme. Contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka melawat ke tempat-tempat bersejarah seperti di negeri Melaka dan Pulau Pinang. Semasa Sambutan Bulan Kemerdekaan pula, ibu bapa perlu mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan kenderaan mereka. Ibu bapa juga boleh membawa anak- anak menyaksikan perbarisan semasa Sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Di samping itu, masyarakat juga boleh memainkan peranan dalam memupuk semangat patriotisme. Justeru, setiap ahli masyarakat mesti turut terlibat menjayakan Program Sambutan Bulan Kemerdekaan pada setiap tahun. Dengan penglibatan semua pihak, secara tidak langsung generasi muda akan mendapat contoh yang baik untuk mereka ikuti. Selain itu, penglibatan pelbagai kaum dalam menjayakan Sambutan Bulan Kemerdekaan akan dapat memupuk perpaduan kaum dan masyarakat pastinya dapat hidup dalam keadaan yang harmoni dan aman di negara ini.

Media massa juga boleh memainkan peranan untuk memupuk semangat patriotisme. Hal ini kerana media massa seperti televisyen berupaya untuk mempengaruhi minda masyarakat. Oleh itu, sewajarnyalah stesen televisyen perlu menyiarkan program dan filem yang bertemakan semangat patriotisme. Surat khabar pula boleh menyiarkan rencana tentang kebaikan semangat patriotisme bagi memupuk lagi semangat patriotisme di kalangan rakyat negara ini.

Kesimpulannya, terdapat beberapa cara untuk memupuk semangat patriotisme. Semangat patriotisme ini perlu dipupuk di kalangan rakyat kerana ia dapat memberikan kebaikan kepada masyarakat dan juga negara. Pada pendapat saya, semua pihak mesti berganding bahu untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan rakyat. Semangat patriotisme yang menebai di kalangan rakyat akan membolehkan Malaysia terus aman dan bertambah maju.
Back to Top