-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3
Kebaikan Perpaduan Kaum

Isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan kaum kerap dibincangkan dalam surat khabar dan televisyen. Hal ini kerana rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Pada pendapat saya, isu perpaduan kaum tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat. Terdapat beberapa kebaikan perpaduan kaum kepada masyarakat dan negara.

Antara kebaikan perpaduan kaum ialah masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Keadaan masyarakat yang aman dan damai ini membolehkan aktiviti harian berjalan dengan baik. Masyarakat pelbagai kaum boleh melakukan aktiviti keagamaan dengan bebas dan lancar. Masyarakat juga boleh menyambut hari perayaan kaum tanpa rasa takut.

Selain itu, perpaduan kaum akan menjadikan negara aman dan tenteram. Keadaan ini membolehkan pihak kerajaan merancang untuk membangunkan negara. Contohnya, plhak kerajaan boleh membina sistem pengangkutan negara yang lebih baik. Projek-projek pembangunan ini membolehkan taraf hidup rakyat terus meningkat.

Kebaikan lain perpaduan kaum ialah pihak kerajaan boleh memajukan sektor pelancongan negara. Keadaan negara yang aman dan damai akan menarik lebih ramai pelancong asing datang ke Malaysia. Kehadiran pelancong asing ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat. Peluang pekerjaan ini membolehkan rakyat mendapat gaji bagi menyara hidup dan menaiktarafkan mereka.

Di samping itu, perpaduan kaum juga akan menarik pelabur asing untuk datang melabur di Malaysia. Pelabur asing berani melabur kerana negara kita berada dalam keadaan aman dan damai. Kedatangan pelabur asing ini juga akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat. Pihak kerajaan juga akan dapat menambahkan pendapatan hasil kutipan cukai daripada keuntungan pelabur asing.

Perpaduan kaum juga akan menaikkan imej negara di mata negara lain. Perpaduan kaum membuktikan bahawa pemimpin Malaysia dapat memerintah dengan baik. Terdapat beberapa negara yang ingin mencontohi negara Malaysia dalam mentadbir negara. Selain itu, perpaduan kaum yang terdapat di Malaysia telah membolehkan Malaysia terpilih sebagai pengerusi bagi beberapa pertubuhan antarabangsa.

Sebagai kesimpulan, perpaduan kaum yang terdapat di Malaysia telah mendatangkan banyak kebaikan. Perpaduan kaum ini mesti sentiasa dipelihara oleh semua lapisan rakyat. Pada pendapat saya, perpaduan kaum pasti dapat dipelihara jika semua rakyat mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Pihak sekolah juga boleh memainkan peranan untuk memupuk perpaduan kaum di kalangan pelajar dan masyarakat.
Back to Top