-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3
Kebaikan Internet

Isu-isu yang berkaitan dengan internet kerap juga menjadi bahan perbincangan dalam televisyen dan surat khabar. Hal ini kerana internet boleh mendatangkan pelbagai kesan kepada masyarakat dan negara. Pada pendapat saya, kita hendaklah menggunakan internet dengan baik. Sebenarnya, terdapat beberapa kebaikan jika kita menggunakan internet dengan baik.

Antara kebaikan internet ialah ia membolehkan kita mendapatkan maklumat tentang sesuatu perkara. Internet banyak digunakan oleh pelajar sekolah dan pelajar universiti untuk mendapatkan maklumat tentang pelajaran. Dengan menggunakan perkhidmatan internet, kita akan mendapat maklumat yang diperlukan dengan cepat dan kosnya pun murah. Maklumat-maklumat ini boleh dicetak atau disimpan dalam komputer.

Selain itu, kita juga boleh menggunakan internet untuk menghantar sesuatu berita atau maklumat. Kita boleh menghantar maklumat atau berita melalui perkhidmatan e-mel. Perkhidmatan e-mel ini adalah percuma dan cepat sampai kepada pihak penerima. Pihak penerima juga boleh menghantar maklumat atau berita kepada kita dengan cepat.

Kebaikan internet yang seterusnya ialah ia membantu aktiviti perniagaan. Peniaga boleh mengiklan dan menjual barang-barang keluaran syarikat mereka secara langsung kepada pelanggan di seluruh dunia. Dengan ini peniaga pasti akan mendapat keuntungan yang lebih banyak. Pelanggan juga dapat mengurangkan kos apabila membeli barang-barang daripada internet.

Di samping itu, kita juga boleh membayar pelbagai jenis bil melalui internet. Dengan kemudahan yang ada di internet ini, kita boleh menjimatkan wang bagi kos pengangkutan untuk membayar bil. Kita juga dapat menjimatkan masa kerana tidak perlu lagi untuk beratur panjang di kaunter pembayaran bil. Antara bil yang boleh dibayar menggunakan perkhidmatan internet ialah bil telefon, elektrik dan air.

Dengan menggunakan internet, kita juga boleh mendapatkan pelbagai jenis hiburan. Kita boleh mendengar radio daripada pelbagai stesen radio. Kita juga boleh menonton televisyen daripada pelbagai stesen televisyen. Melalui perkhidmatan internet, kita juga boleh menonton pelbagai jenis sukan di seluruh dunia secara langsung.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa kebaikan internet kepada kita. Namun demikian, internet juga boleh mendatangkan masalah dan kesan negatif kepada kita. Pada pendapat saya, ibu bapa perlu memantau penggunaan internet dalam kalangan anak-anak mereka. Pihak sekolah juga boleh memainkan peranan untuk mengurangkan kesan negatif internet terhadap para pelajar.
Back to Top