-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3
Cara-cara Mengatasi Gejala Mat Rempit

Aktiviti mat rempit sering dipaparkan dalam televisyen dan surat khabar. Hal ini kerana aktiviti mat rempit berlaku hampir setiap minggu sama ada di kampung ataupun bandar. Pada pendapat saya, isu mat rempit ini tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi gejala mat rempit.

Antara cara mengatasi gejala mat rempit ialah mat rempit mestilah mengamalkan nilai-nilai murni semasa menggunakan jalan raya. Mat rempit mesti sedar bahawa jalan-raya bukan tempat untuk berlumba dan menunjukkan aksi berbahaya. Mat rempit juga mesti mengamalkan nilai mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa berhemah ketika menggunakan jalan raya. Mat rempit perlu juga memikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Selain itu, keluarga juga boleh memainkan peranan mengatasi gejala mat rempit. Ibu bapa perlu menasihati anak-anak supaya menjauhi perbuatan merempit di jalan raya. Ibu bapa juga perlu memantau pergerakan anak mereka pada setiap masa. Selain itu, ibu bapa tidak perlu membelikan anak-anak mereka motosikal jika mereka masih lagi di bangku sekolah kerana dikhuatiri akan menggalakkan mereka menyertai aktiviti mat rempit.

Masyarakat juga boleh memainkan peranan dalam mengatasi gejala mat rempit. Oleh itu, masyarakat hendaklah memberi nasihat kepada remaja yang melakukan aktiviti merempit. Masyarakat juga perlu memaklumkan sebarang aktiviti mat rempit yang berlaku di kawasan mereka kepada pemimpin setempat. Jika perlu, aduan hendaklah dibuat kepada pihak berkuasa supaya tindakan undang-undang dapat diambil.

Di samping itu, pihak polis juga boleh memainkan peranan untuk mengatasi gejala mat rempit. Pihak polis perlu membuat rondaan untuk mengawasi pergerakan mat rempit. Jika pihak polis mendapat aduan daripada masyarakat atau pengguna jalan raya, tindakan segera hendaklah diambil. Selain itu, operasi membanteras aktiviti mat rempit hendaklah dibuat sekerap mungkin oleh pihak polis.

Pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan untuk mengatasi gejala mat rempit. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai sumber kewangan untuk melaksanakan program bagi membanteras gejala mat rempit. Contohnya pihak kerajaan boleh mengadakan kempen menangani mat rempit menerusi media massa. Selain itu, tindakan undang-undang perlu diambil oleh kerajaan terhadap aktiviti merempit di jalan raya.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa cara boleh diambil untuk mengatasi gejala mat rempit. Tindakan mengatasi gejala mat rempit ini perlu dibuat secara berterusan. Pada pendapat saya, pihak sekolah juga boleh membantu dalam usaha mengatasi gejala mat rempit. Dengan kerjasama semua pihak, saya pasti gejala mat rempit dapat diatasi dengan baik.
Back to Top