-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan STPM - Prasarana

Keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara semakin terpinggir. Langkah-langkah tertentu perlu dilaksanakan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu. Jelaskan.

Menjelang abad ke-21, ternyata kedudukan bahasa Melayu agak tercabar oleh pelbagai perubahan termasuk ledakan revolusi teknologi maklumat.

Antara cabaran bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ialah gelombang globalisasi. Perkembangan ini seiring dengan ledakan revolusi teknologi maklumat masa ini. Dalam era ini, bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar utama dalam urusan perniagaan, hubungan sosial antara pengguna menerusi penggunaan Internet, dan sebagainya. Gelombang globalisasi telah menunjukkan bahawa bahasa Inggeris mengiringi kelahiran pertama dunia Internet di Amerika Syarikat dan seterusnya diikuti dengan pengeluaran perisian dan perkakasan komputer seperti Microsoft yang diasaskan oleh bangsa Inggeris. Perubahan persekitaran ini menggugat keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Cabaran seterusnya ialah sikap penutur, iaitu penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kalangan penggunanya. Kebanyakan bahasa Melayu yang dituturkan atau ditulis tidak mengikut hukum tatabahasa yang betul. Hal ini demikian kerana, pengaruh media elektronik telah merosakkan penggunaan bahasa Melayu dari segi pertuturan dan penulisan. Pengabaian penggunaan bahasa Melayu yang betul semakin merebak dalam kalangan lenerasi masa ini. Perkara ini, menerusi penggunaan telefon bimbit untuk menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada rakan-rakan, remaja akan menggunakan bahasa rojak, singkatan, dan sebagainya. Misalnya, perkataan- perkataan seperti kang (nanti), a'kum (assalamualaikum), dan sebagainya. Fenomena ini telah merosakkan keteraturan, kehalusan, dan keintelektualar bahasa Melayu di samping menjejaskan sistem dan peraturannya yang boleh menyebabkan kecelaruan penggunaan bahasa. Penggunaan bahasa Melayu yang betul haruslah dipraktikkan bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu.

Selain itu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara semakin tergugat berikutan persaingan bahasa Inggeris di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Lambakan kolej swasta adalah sejajar dengan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 yang lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Penggunaan bahasa Inggeris berkait rapat dengan persepsi masyarakat Malaysia yang beranggapan bahawa sesuatu yang berbau Inggeris dan Barat itu lebih superior. Pada masa yang sama, apabila graduan menamatkan pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan, didapati pasaran pekerjaan lebih menekankan kepada penguasaan bahasa Inggeris sebagai ciri utama semasa sesi temu duga. Sebagai akibatnya, krisis siswazah tidak mendapat pekerjaan pada hari ini dikaitkan dengan masalah penguasaan bahasa Inggeris.

Bagi mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi semula, beberapa langkah perlu dilaksanakan. Antara langkah tersebut termasuklah mengukuhkan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah bersungguh-sungguh mengambil pendekatan melaksanakan audit bahasa kepada setiap organisasi. Misalnya, pemasangan papan-papan iklan perlulah mematuhi hukum tatabahasa bahasa Melayu yang betul dan meluaskan peranannya dengan menerbitkan buku-buku pengistilahan atau terminologi dan glosari dalam bahasa Melayu yang meliputi pelbagai bidang ilmu termasuklah bidang kejuruteraan, perbankan, undang-undang, dan sebagainya.

Usaha lain yang mampu mengangkat martabat bahasa Melayu ialah pemantapan kedudukan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan. Langkah kerajaan melaksanakan dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris merupakan langkah yang amat tepat. Hal ini dapat dilihat apabila bahasa Melayu digunakan semula dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Matematik dan Sains sementara bahasa Inggeris pula dikekalkan peranannya sebagai bahasa kedua pentingnya di negara ini. Penggunaan bahasa Melayu dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut turut menambahkan keyakinan terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Kesimpulannya, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dengan bersungguh-sungguh dalam memartabatkan bahasa Melayu di samping memberikan peluang kepada bahasa ibunda kaum lain untuk dipelajari dalam sistem pendidikan.
Back to Top