-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3
Cara-cara Meningkatkan Aktiviti Riadah

Hal-haI yang berkaitan dengan aktiviti riadah kerap diperkatakan apabila kita membincangkan tentang amalan gaya hidup sihat. Aktiviti riadah dapat merapatkan hubungan kekeluargaan apabila dilakukan bersama keluarga. Pada pandangan saya, aktiviti riadah ini perlu dilakukan oleh setiap keluarga sekerap mungkin. Terdapat beberapa cara untuk meningkatkan aktiviti riadah di kalangan keluarga dan masyarakat.

Keluarga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan aktiviti riadah. Ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk melakukan aktiviti riadah pada hujung minggu atau cuti umum. Aktiviti riadah ini boleh dilakukan di taman rekreasi atau di tepi pantai. Anak-anak yang sudah terbiasa dengan aktiviti riadah pasti akan melakukannya apabila mereka dewasa dan berkeluarga kelak.

Selain itu, sekolah juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan aktiviti riadah. Guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan boleh mengingatkan pelajar tentang kebaikan aktiviti riadah. Pihak sekolah boleh memasukkan aktiviti riadah dalam program perkhemahan pelajar. Pihak sekolah juga boleh menganjurkan aktiviti riadah di sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Media massa seperti televisyen juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan aktiviti riadah. Hal ini kerana media massa boleh mempengaruhi minda masyarakat. Stesen televisyen contohnya boleh memaparkan rencana tentang kebaikan aktiviti riadah. Stesen televisyen juga boleh menunjukkan lokasi-lokasi menarik dan popular yang boleh dijadikan tempat aktiviti riadah untuk seisi keluarga.

Di samping itu, Kementerian Kesihatan juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan aktiviti riadah. Kementerian Kesihatan boleh mengeluarkan risalah tentang kebaikan aktiviti riadah. Kementerian Kesihatan juga boleh mengadakan ceramah di sekolah-sekolah bagi menerangkan kebaikan aktiviti riadah pada kesihatan kita. Ceramah tentang aktiviti riadah juga boleh diadakan di pusat pengajian tinggi, sektor awam dan juga sektor swasta.

Pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan aktiviti riadah. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai sumber kewangan untuk membina tempat bagi mengadakan aktiviti riadah. Pihak kerajaan juga boleh mengadakan kempen riadah pada peringkat kebangsaan. Selain itu, pihak kerajaan juga boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang merosakkan kemudahan awam yang terdapat di tempat riadah demi menjamin keselesaan rakyat yang ingin beriadah bersama keluarga.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa cara untuk meningkatkan aktiviti riadah di kalangan masyarakat. Sesungguhnya, aktiviti riadah banyak kebaikannya kepada masyarakat dan negara. Pada pendapat saya, aktiviti riadah ini perlu dipupuk di kalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi. Dengan melakukan aktiviti riadah pasti kesihatan kita akan menjadi lebih baik dan kehidupan kita akan menjadi lebih bahagia.
Back to Top