-->

Type something and hit enter

Translate


On
Contoh Karangan PT3

Cara-cara Menggalakkan Aktiviti Gotong-Royong di Kalangan Generasi Muda


Isu-isu yang berkaitan dengan aktiviti gotong-royong kerap juga diperkatakan oleh pemimpin masyarakat semasa berucap. Hal ini kerana aktiviti gotong-royong mendatangkan banyak kebaikan kepada masyarakat. Pada pendapat saya, aktiviti gotong-royong ini memang patut dijadikan amalan dalam kehidupan seharian. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menggalakkan aktiviti gotong-royong di kalangan generasi muda.

Ibu bapa boleh memainkan peranan dalam menggalakkan aktiviti gotong-royong di kalangan generasi muda. Contohnya, ibu bapa boleh mengajak anak-anak membuat aktiviti gotong-royong untuk membersihkan rumah pada setiap hujung minggu. Aktiviti gotong-royong ini juga boleh disemai dengan membersihkan kawasan luar rumah bersama-sama. Ibu bapa juga mestilah memberi nasihat kepada anak-anak agar turut sama menjayakan aktiviti gotong-royong di tempat lain.

Pihak sekolah boleh juga memainkan peranan dalam menggalakkan aktiviti gotong-royong di kalangan pelajar. Contohnya, pihak sekolah perlu memastikan semua kelas mempunyai jadual bertugas harian bagi membersihkan kelas. Pihak sekolah juga boleh menetapkan hari tertentu untuk aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Selain itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan Program Gotong-royong Perdana pada setiap bulan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membersihkan kawasan sekolah.

Masyarakat juga boleh memainkan peranan dalam menggalakkan aktiviti gotong-royong di kalangan generasi muda. Pemimpin masyarakat boleh menganjurkan aktiviti gotong-royong dan memanggil generasi muda untuk turut serta. Golongan muda hendaklah diberikan kerja-kerja yang bersesuaian dengan mereka seperti mengecat dan membersihkan padang permainan. Sumbangan generasi muda ini perlu dihargai dengan memberikan mereka sijil penghargaan dan kata-kata pujian untuk menggalakkan lagi mereka menyertai aktiviti gotong-royong.

Media massa seperti televisyen dan akhbar juga boleh memainkan peranan. Sesungguhnya, keupayaan media massa mempengaruhi minda generasi muda memang tidak dapat disangkal lagi. Contohnya, stesen televisyen boleh menyiarkan kempen menggalakkan generasi muda menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh pemimpin setempat. Pihak akhbar juga boleh menyiarkan rencana tentang kebaikan aktiviti gotong-royong agar dapat menggalakkan generasi muda menyertainya.

Di samping itu, pihak Kementerian Belia dan Sukan juga boleh memainkan peranan. Sebagai contoh, dalam setiap program yang dilaksanakan untuk generasi muda, aktiviti gotong-royong mesti dlmasukkan. Pihak Kementerian Belia dan Sukan boleh juga menggalakkan generasi muda untuk menganjurkan aktiviti gotong-royong di peringkat kampung mahupun daerah. Selain itu, pihak Kementerian Belia dan Sukan boleh memberikan galakan terhadap aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh generasi muda ini dengan memberikan bantuan kewangan.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa cara menggalakkan aktiviti gotong-royong di kalangan generasi muda. Aktiviti gotong-royong ini perlu disemai oleh ibu bapa sejak anak-anak kecil lagi. Pada pendapat saya, pihak kerajaan perlu membuat kempen bagi menyemai sikap gotong-royong melalui stesen televisyen milik kerajaan secara berterusan. Dengan penyertaan generasi muda dalam aktiviti gotong-royong, saya pasti perpaduan kaum akan terus terjalin pada masa akan datang.
Back to Top